20 Disember 2023, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Cukai jualan 10 peratus terhadap barang bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian mulai 1 Januari depan hanya melibatkan barangan import yang bernilai RM500 ke bawah.

Cukai jualan LVG import pada asalnya dijadual untuk dilaksanakan pada 1 April 2023 tetapi ditangguh bagi membolehkan Kerajaan MADANI mengadakan sesi libat urus bersama-sama pemain industri untuk memperhalusi isu bagi pelaksanaannya.

Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil menyatakan bahawa, “Ini adalah untuk memastikan pelaksanaan cukai ini dapat mencapai objektif, terutamanya untuk menangani isu ketidaksamarataan layanan cukai ke atas barang-barang bernilai rendah antara perniagaan.”

Tambahnya, telah menjadi kelaziman di peringkat global untuk tidak mengenakan cukai jualan dan duti import ke atas barangan import di bawah nilai de minimis (minimum) dan di Malaysia, nilainya ditetapkan pada RM500 seunit barang bagi memudahkan urusan pelepasan kastam serta penghantaran melalui pos dan kurier.

Kepesatan transaksi jualan dalam talian yang menjadi pilihan pengguna pada masa ini telah mewujudkan layanan cukai yang tidak sama rata antara perniagaan dalam talian yang mengimport barangan dari luar negara dan perniagaan yang beroperasi secara fizikal (brick and mortar) di Malaysia.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), secara umum, cukai jualan dikenakan ke atas barangan yang dijual di Malaysia dan cukai jualan dibayar oleh pengimport, pemborong atau peruncit sebelum dijual kepada pengguna akhir di Malaysia tetapi terdapat kelemahan cukai (loophole) dalam sistem cukai jualan sedia ada yang menyebabkan amalan pengelakan cukai jualan berlaku dalam kalangan penjual.

“Negara-negara jiran Malaysia telah mengambil tindakan menangani kelemahan cukai ini dengan menguatkuasakan cukai ke atas LVG. Antara negara yang telah menguatkuasakan tindakan ini termasuklah Singapura yang telah melaksanakannya pada 1 Januari 2023 dan Indonesia pada 1 April 2023,” katanya.

MOF memaklumkan cukai jualan pada kadar 10 peratus dikenakan ke atas LVG bernilai RM500 ke bawah yang diimport ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.

Tambahnya, cukai ini tidak dikenakan ke atas rokok, produk tembakau, minuman keras dan rokok paip kerana kesemua barang ini telah dikenakan duti import, duti eksais dan cukai jualan.

Penjual dalam talian tempatan dan luar negara yang menjual LVG diimport ke Malaysia dengan nilai melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan boleh memohon untuk berdaftar di bawah Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2022 melalui https://mylvg.customs.gov.my/.

Sementara itu, peniaga dalam talian dan pengguna boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan cukai jualan ke atas LVG https://mylvg.customs.gov.my/.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.