Oleh Noor Aidil
18 Mei 2024, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya merangkul Anugerah Universiti Pilihan Majikan (Employers’ Choice of University Award) baru-baru ini. Anugerah ini dinilai berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh pihak Talent Bank kepada lebih daripada 100 industri terhadap bidang pengajian bagi 20 buah universiti awam dan 23 buah universiti swasta.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, UTeM mencipta sejarah tersendiri apabila tiga bidang pengajian universiti tersebut menjadi pilihan tertinggi daripada majikan.

Ujarnya, tiga bidang pengajian tersebut ialah mekatronik daripada Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE), automotif daripada Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) serta teknologi permainan daripada Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

“Kejayaan ini menzahirkan penawaran pengajian dan penjanaan graduan UTeM agar sentiasa memenuhi kehendak majikan dan pasaran kerja semasa dalam kalangan industri dunia. Pencapaian ini turut memberikan gambaran yang jelas bahawa formula dan strategi berangkai UTeM dari segenap konteks terus membuahkan hasil yang memberangsangkan,” ujar Ts. Dr. Massila lagi.

Mengulas lebih lanjut, kejayaan ini turut memenuhi kriteria pengisian agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu pendidikan berkualiti (SDG4),  pekerjaan baik dan kemajuan ekonomi (SDG8) daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Semasa majlis berkenaan, anugerah untuk UTeM telah diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif.

Yang turut hadir dalam majlis sama termasuklah Pengarah Pusat Alumni, Kerjaya dan Kebolehpasaran (U-ACE), Dr. Hazli Rafis Abdul Rahim, Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar (TDPP) FTMK, Ts. Dr. Muhamad Haziq Lim Abdullah, TDPP FTKM Dr. Nadlene Razali dan Timbalan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGlobe), Hazman Hasib.

Dr. Sabri berkata pencapaian ini turut menyumbang kepada peningkatan peratusan kebolehpasaran graduan UTeM yang terus menunjukkan anjakan yang sangat positif tahun demi tahun. Tambahnya, UTeM menerusi U-ACE terus komited menjayakan pelbagai program dalam usaha meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan universiti tersebut termasuk perkongsian maklumat tentang peluang pekerjaan daripada alumni. Untuk rekod, pada tahun 2022, UTeM telah mencapai kadar kebolehpasaran sebanyak 96.4 peratus.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.