19 Mei 2024, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Ekonomi Malaysia pada suku pertama bagi tahun 2024 (S1 2024) berkembang sebanyak 4.2 peratus berbanding dengan sebanyak 2.9 peratus pada masa yang sama tahun lepas. Hal ini didorong oleh pemulihan prestasi eksport dan permintaan domestik yang rancak.

Menurut Kementerian Kewangan, kadar pertumbuhan pada S1 2024 mengatasi unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.9 peratus. Kerajaan optimis Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik dan akan berkembang pada kadar unjuran rasmi antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun 2024.

Sementara itu, YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan pada S1 2024 membuktikan bahawa dasar kerajaan yang berkesan serta pengurusan ekonomi yang baik telah memangkin pertumbuhan.

“Di sebalik kegalauan ekonomi dunia, prestasi ekonomi Malaysia kian mengukuh dan dalam tahun pertama pentadbiran, kerajaan MADANI telah memulakan reformasi dasar yang menyeluruh serta komited melaksanakan agenda reformasi bagi mentransformasi ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Tambah beliau, kerajaan bertekad untuk menjayakan pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI dan peningkatan keyakinan terhadap pasaran modal domestik boleh dilihat melalui rekod paras baharu FBM KLCI mutakhir ini yang mencerminkan minat pelabur kembali tertumpu kepada naratif reformasi Malaysia.

Kementerian Kewangan berkata, peningkatan momentum ekonomi mencerminkan asas negara yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik serta diperhebat lagi dengan dasar kerajaan MADANI.

Tambahnya, Kerangka Ekonomi MADANI yang memeta strategi ampuh untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia serta mengenal pasti industri pertumbuhan baharu, telah mula mencipta hasil positif terhadap pengembangan berterusan ekonomi negara.

“Pertumbuhan ini turut dipacu oleh langkah ekonomi yang digariskan dalam Belanjawan MADANI Kedua serta tekad kerajaan untuk membawa pendekatan pengurusan kewangan yang berhemat di samping terus memastikan kebajikan golongan rentan kekal terpelihara,” katanya.

Sebagai tambahan, katanya, pelaksanaan strategi dan langkah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, serta inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 kekal menarik pelaburan bernilai tinggi dalam industri bernilai tambah tinggi, sekali gus mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Menurut Kementerian Kewangan, usaha akan dipergiat bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta melonjakkan produktiviti yang bertujuan untuk memastikan dasar propembangunan ekonomi dilaksanakan seperti dirancang bagi mencapai aspirasi negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.