9 November 2023, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memperkenalkan Panduan Maqasid Al-Syariah buat Pasaran Modal Islam Malaysia baru-baru ini sebagai usaha membangunkan dan menggalakkan industri agar terus kukuh dan berdaya tahan.

Menurut SC, panduan ini menggariskan prinsip universal bagi meningkatkan kelebihan daya saing pasaran modal Islam (ICM) dan mengukuhkan impak dan sumbangan ICM terhadap masyarakat dan ekonomi sebenar (real economy).

“Dengan mematuhi piawaian etika tertinggi berdasarkan prinsip teras syariah, inisiatif ini dijangka dapat mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pihak berkepentingan utama selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) SC, yang bertujuan mengiktiraf Malaysia sebagai peneraju global dalam ICM dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pusat serantau bagi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) patuh syariah,” jelas SC dalam satu kenyataan.

Timbalan Menteri Kewangan I, YB Datuk Seri Ahmad Maslan telah melancarkan panduan tersebut pada Persidangan SC-Bank Dunia yang lalu. Persidangan tersebut berlangsung selama sehari dengan dihadiri oleh lebih 150 pemain industri termasuk pengamal pasaran modal, institusi kewangan Islam, penasihat syariah, peserta antarabangsa dan agensi kerajaan.

ICM telah menyumbang sebanyak 64% atau RM2.4 trilion daripada keseluruhan pasaran modal Malaysia hingga Ogos 2023.

Sementara itu, Pengerusi SC, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, “Dokumen berasaskan prinsip ini bukan bertujuan untuk menggantikan keperluan syariah sedia ada sebaliknya, berperanan untuk melengkapkan undang-undang dan peraturan SC yang sedia ada.”

Hal ini adalah sama dengan konsep “halal” dan “toyyib” di mana produk bukan sahaja dibenarkan tetapi juga bermanfaat, mampan dan baik untuk masyarakat. Panduan ini dirangka selaras dengan enam aspirasi menyeluruh yang sesuai dalam konteks ICM yang terdiri daripada kemanusiaan; keadilan dan ihsan; kejelasan dan ketelusan; fleksibiliti dan inovasi; fidusiari dan akauntabiliti serta kebolehcapaian dan keterangkuman. Setiap aspirasi menggariskan prinsip-prinsipnya yang tersendiri, dengan sejumlah 15 prinsip sebagai rujukan untuk pasaran modal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.