18 September 2023, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selepas berjaya meraih pelaburan yang diluluskan bernilai RM132.6 bilion pada separuh pertama 2023, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangkakan bahawa mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada separuh kedua 2023.

Malaysia menarik sejumlah RM132.6 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama yang melibatkan 2651 projek dari Januari hingga Jun 2023 dan dijangka mewujudkan 51 853 peluang pekerjaan di negara ini bagi enam bulan pertama tahun ini. Pelaburan itu merupakan tanda keyakinan terhadap ekonomi Malaysia. Selain itu, Malaysia juga merupakan hab yang dipercayai untuk ekosistem, rantaian bekalan, modal dan bakat, aliran barangan dan data serta keupayaan inovasi yang semakin meningkat.

Walaupun permintaan global perlahan dan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi dalam pasaran utama, Malaysia berjaya menarik jumlah pelaburan yang diluluskan kira-kira hampir sama pada separuh pertama 2023 tahun ke tahun, mencerminkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi negara. Pelaburan domestik langsung yang meningkat 58 peratus dan mewakili lebih 52 peratus daripada pelaburan yang diluluskan merupakan undi keyakinan yang jelas terhadap dasar Ekonomi MADANI. Jumlah pelaburan yang diluluskan juga bakal mewujudkan sekurang-kurangnya 50 000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 (NIMP2023) yang diumumkan baru-baru ini mewakili langkah penting dalam perjalanan Malaysia ke arah transformasi industri yang mampan dan meningkatkan daya saing global.

Pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 52.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan atau RM69.3 bilion, dipacu oleh pelaburan dalam sektor perkhidmatan, khususnya hartanah dan sektor utama. Komitmen kerajaan untuk memastikan perumahan berkualiti untuk rakyat turut menjadi faktor utama pertumbuhan ini. MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kekal teguh dalam komitmen mereka untuk mencapai gabungan seimbang pelaburan langsung asing (FDI) dan DDI. Keseimbangan ini jelas ditunjukkan dalam jumlah FDI yang menyumbang 47.8 peratus atau RM63.3 bilion kepada pelaburan yang diluluskan.

Sumber FDI negara datang dari Singapura dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM13.7 bilion, diikuti Jepun (RM9.1 bilion), Belanda (RM9.0 bilion), China (RM8.4 bilion) dan British Virgin Islands (RM7.1 bilion). Lima negeri telah merekodkan pelaburan diluluskan yang ketara iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM31.7 bilion), Selangor (RM29.7 bilion), Kedah (RM14.6 bilion), Johor (RM14.2 bilion) dan Sabah (RM9.0 bilion). Apabila digabungkan, kelima-lima negeri itu menyumbang 74.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.