Oleh Abd Razak Osman
3 Jun 2023, 18:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Langkawi – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedia memberikan perkhidmatan  percukaian terbaik kepada orang ramai. YBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN berkata, usaha itu dapat meningkatkan hubungan dan interaksi berkesan dengan para pelanggan dalam memacu ekonomi negara.
Tambah beliau, pada tahun lalu, LHDN berjaya mengutip cukai tertinggi mencecah RM175 bilion berbanding dengan tahun sebelumnya RM144 bilion berikutan kesedaran tinggi orang ramai terhadap undang-undang percukaian dalam negara.
“Sehubungan dengan itu, Pejabat Satelit Langkawi yang mula beroperasi pada 1 Mac 2021 lalu adalah pejabat satelit pertama diwujudkan oleh LHDN di kawasan pelancongan,” kata ketika merasmikan pejabat itu yang terletak di Kompleks Pekan Rabu Kuah, Langkawi, semalam. Pembukaan Pejabat Satelit Langkawi ini adalah yang keempat, selain di Cyberjaya di Selangor, Batu Pahat di Johor dan Lahad Datu di Sabah.
Katanya, lokasi di Langkawi bersesuaian dalam usaha memperkukuhkan peranan serta fungsi perkhidmatan, dan pejabat satelit ini juga didapati relevan dengan keperluan penduduk setempat berikutan ekonomi Langkawi kini dilihat semakin berkembang setiap tahun.
YBhg. Datuk Mohd Nizom Sairi, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, memberikan ucapan perasmian Pejabat Satelit Langkawi di Kompleks Pekan Rabu, Kuah, Langkawi.
“Melalui kemudahan itu, orang ramai dapat menjalankan urusan percukaian penduduk setempat meliputi rundingan pengauditan dan pungutan, cukai keuntungan harta tanah, duti setem, bantuan khas kerajaan dan perkhidmatan lain yang berkaitan bagi mengurangkan beban kos, serta menjimatkan masa tanpa perlu hadir ke kaunter utama di lokaliti Alor Setar,” katanya lagi.
Hingga 31 Disember 2022, pejabat satelit ini berjaya mencatatkan kutipan duti setem sebanyak RM8.78 juta, iaitu yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun sepanjang beroperasi. Malah, hingga 30 April 2023, Pejabat Satelit Langkawi telah mencatatkan kutipan duti setem hampir RM717 ribu yang merupakan antara penyumbang terbesar jumlah kutipan cukai hasil bagi negeri Kedah.
Sebelum ini, Pusat Khidmat Hasil (PKH) beroperasi di Pejabat Daerah Langkawi.
Turut hadir di majlis itu ialah Encik Aziz Din, Pengarah LHDN Kedah dan YBhg. Datuk Abdul Gafar Yahya, Pegawai Daerah Langkawi.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.