Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkasakan agenda pendigitalan perkhidmatan percukaian negara menerusi pelaksanaan mandatori sistem e-Derma bagi semua permohonan baharu kelulusan pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) yang melibatkan Institusi atau Organisasi (IO) berkuat kuasa mulai 15 Jun 2026.
Menurut HASiL, sistem e-Derma yang boleh diakses melalui portal MyTax telah diperkenalkan sejak 20 Ogos 2025 bagi memudahkan urusan permohonan pengecualian cukai oleh IO.
Pelaksanaan secara mandatori ini membolehkan permohonan dikemukakan sepenuhnya secara dalam talian pada bila-bila masa tanpa perlu hadir ke pejabat HASiL atau mengemukakan dokumen secara fizikal, sekali gus meningkatkan kecekapan proses semakan dan kelulusan.
Bagi permohonan baharu yang melibatkan Tabung atau Institusi/Organisasi/Tabung (IOT) yang melantik wakil cukai atau ejen cukai, pengemukaan borang manual dan dokumen sokongan perlu dibuat secara dalam talian. Walau bagaimanapun, HASiL memaklumkan bahawa penggunaan sistem e-Derma bagi kategori tersebut akan diperluas pada fasa seterusnya.
Selain urusan permohonan baharu, sistem e-Derma turut menyediakan kemudahan dalam talian bagi pelbagai urusan lain, termasuk lanjutan tempoh kelulusan, pengemukaan Penyata Kewangan Beraudit dan Borang Semakan Kendiri, serta pindaan maklumat berkaitan dengan IOT.
HASiL menjelaskan bahawa pengguna boleh mengakses perkhidmatan tersebut melalui portal rasminya dengan memilih Menu Perkhidmatan, diikuti Institusi/Organisasi/Tabung dan Perkhidmatan Atas Talian.
Panduan lengkap penggunaan sistem juga boleh dirujuk menerusi Manual Pengguna e-Derma melalui capaian Menu, diikuti Panduan Pengguna dan Manual Pengguna e-Derma yang disediakan dalam portal MyTax.
Menurut HASiL, pendigitalan urusan cukai ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan melalui proses semakan dan kelulusan yang lebih pantas, pengurusan dokumen yang lebih teratur, serta akses perkhidmatan yang lebih mudah dan fleksibel kepada IOT.
Inisiatif ini juga selaras dengan usaha berterusan HASiL untuk memperkasakan ekosistem percukaian digital yang lebih cekap, telus dan mesra pelanggan.