Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Hubungan yang harmoni antara kerajaan dengan majikan dan pekerja merupakan faktor penting dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, sekali gus menarik pelaburan baharu, serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kerjasama erat antara ketiga-tiga pihak tersebut mampu menjamin kestabilan hubungan industri dan mengurangkan risiko pertikaian yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
“Kerjasama erat ini amat penting bagi mewujudkan suasana perniagaan yang stabil, aman dan bebas daripada masalah pertikaian industri,” titah baginda.
Titah tersebut dizahirkan selepas baginda berkenan mengetuai Program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli yang diadakan di sekitar Kampung Padang Pauh, Kangar.
Program yang dilaksanakan secara berkala itu merupakan inisiatif MAIPs bagi mengesan dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negeri berdasarkan maklumat daripada kariah setempat.
Sempena program berkenaan, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga orang penerima asnaf, iaitu Remli Abas, 67, dari Lorong Haji Saman, Jalan Kaki Bukit; Adnan Ismail, 63, dari Jalan Kaki Bukit; dan Mohd Jaffri Md Arof, 64, dari Kampung Behor Inai.
Program Kayuhan MAIPs Peduli akan terus diperkasakan sebagai platform mendekati masyarakat dan memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih berkesan kepada golongan yang memerlukan, di samping memperkukuh peranan institusi agama dalam pembangunan kesejahteraan sosial negeri.

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan meninjau perkembangan projek penaiktarafan Masjid Sirajuddin, Padang Pauh, serta menerima penerangan mengenai status pelaksanaannya daripada pegawai Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU JPM Perlis).