Diterbitkan pada 12 Jun 2026, 09:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang dipacu oleh perang perdagangan dan konflik geopolitik, kata Timbalan Menteri Kewangan, YB Liew Chin Tong.

Menurut beliau, dunia kini sedang beralih daripada dominasi kuasa tunggal Amerika Syarikat (AS) kepada sistem pelbagai kuasa yang lebih kompleks dan mencabar.

“Perang perdagangan antara AS dengan China, serta konflik di Asia Barat menunjukkan perubahan besar dalam susunan ekonomi dan geopolitik global,” katanya ketika berucap pada program Market Outlook 2026 anjuran Affin Bank Berhad, semalam.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kelebihan untuk memanfaatkan perubahan tersebut berikutan asas ekonomi dan perindustrian yang kukuh.

Liew turut menjelaskan bahawa walaupun krisis global semasa dianggap paling serius sejak krisis minyak tahun 1973–1974, Malaysia memasuki tempoh mencabar itu dalam keadaan lebih bersedia berbanding dengan kebanyakan negara lain.

Katanya, kedudukan Malaysia sebagai pengeluar petroleum dan minyak sawit, serta pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar seperti BUDI95 membantu negara mengurus tekanan kos tenaga dengan lebih berkesan.

Pada masa yang sama, beberapa institusi antarabangsa termasuk Bank Negara Malaysia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia telah menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2026.

“Ketika banyak negara menurunkan unjuran pertumbuhan, Malaysia mencatat unjuran melebihi 4.5 peratus dan ada yang menghampiri lima peratus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa risiko krisis tenaga global masih berterusan dengan gangguan bekalan dijangka berlanjutan antara 12 bulan hingga 18 bulan, sekali gus berpotensi memberikan kesan kepada struktur ekonomi dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi