Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) dan mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) semalam.

Menurut kenyataan tersebut, inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) membolehkan pemegang kad debit mengakses lebih daripada 14 000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank pengeluar kad dengan kemudahan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

Ketiga-tiga persatuan berkenaan berkata, pemansuhan caj pengeluaran tunai antara bank itu bertujuan meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih mudah, inklusif dan berpatutan, selain membantu meringankan kos harian pengguna.

Menurut mereka, wang tunai masih memainkan peranan penting sebagai kaedah pembayaran bagi sebahagian rakyat Malaysia, justeru akses yang mudah dan kos yang rendah perlu terus dipelihara.

Pada masa yang sama, industri perbankan akan terus memperkukuh penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai yang selamat, serta lancar selaras dengan usaha negara mempercepat peralihan ke arah ekonomi digital.

Inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen sektor perbankan untuk memperluas keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan pelanggan di seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi