Oleh Abd Razak Osman
21 Mei 2023, 17:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menganjurkan Hari Apresiasi Pewakaf 2023 di The Hotel Jerai Alor Setar bagi menghargai pewakaf di negeri Kedah, semalam. Sebanyak 100 orang pewakaf YWM serta kakitangan MAIK hadir bersempena dengan program tersebut.

Urus setia majlis tersebut, Haidatul Azia Husin berkata, usaha tersebut berupaya menjalin semangat kerjasama yang lebih erat antara YWM dengan MAIK dalam usaha memperkasakan wakaf di negeri Kedah khususnya.

“Mereka yang diraikan ini adalah antara pewakaf yang telah mewakafkan wang tunai secara potongan gaji menggunakan kod potongan gaji YWM, iaitu 4474 atau secara sekali beri dan termasuk juga para pewakaf yang mewakafkan aset atau harta tidak alih mereka kepada MAIK.

“Berdasarkan data yang diperoleh daripada Sistem Wakaf Tunai Malaysia, YWM sehingga 17 Mei 2023, terdapat sebanyak 25 841 orang pewakaf berdaftar dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 1087 pewakaf adalah dari negeri Kedah,” katanya.

Menurutnya, bagi pewakafan secara tunai melalui potongan gaji di negeri Kedah bermula pada tahun 2018 hingga kini, sebanyak 138 orang dengan nilai transaksi sebanyak RM209 033.44 dan daripada jumlah itu, terdapat seorang pewakaf memberikan sumbangan wakaf tertinggi yang bernilai RM51 550.

“Sehubungan itu, YWM telah menghulur sumbangan sejumlah RM25 550 kepada pihak tertentu di negeri ini, termasuk RM10 000 untuk Pembinaan Pusat Pelupusan Al-Quran di Masjid Al-Ala Pekan Jitra, RM10 550 untuk Projek Infak Mini Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) untuk murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA)  negeri Kedah dan RM5000 lagi untuk Pusat Jagaan Darul Aitam Wal Masakin Sultanah Haminah di Lorong Seri Alor Setar.

“Kini, urusan pewakafan menjadi lebih mudah dengan adanya skim berwakaf secara potongan gaji sama ada untuk penjawat awam atau swasta,” katanya lagi.

YWM mengalu-alukan semua pihak sama ada individu, syarikat swasta atau korporat bersama-sama menyokong amalan berwakaf menerusi kempen #WakafSeringgitJe anjuran YWM yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Ramadan 1444 lalu. Haidatul Azia menambah, sumbangan wakaf serendah RM1 boleh disalurkan ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia melalui CIMB Islamic Bank Berhad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.