25 April 2023, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jika dahulu lemang hanya menjadi juadah pada musim perayaan, hari ini lemang boleh dibeli setiap hari. Hal itu demikian kerana ada kedai atau gerai yang menjual lemang tanpa mengira musim. Justeru, ada pengusaha yang telah menjadikan lemang sebagai sumber rezeki atau mata pencarian utama mereka. Pendapatan yang diperolehi juga agak lumayan khususnya pada musim perayaan memandangkan lemang yang dijual pada hari ini telah divariasikan mengikut saiz, jenis, pilihan kandungan dan pakej.

Sebagai contoh, lemang yang dijual mengikut saiz iaitu dari saiz S hingga saiz XXL telah ditetapkan harganya antara Rm 16 hingga RM 24 sebatang seperti yang ditetapkan di kawasan Lembah Kelang. Walau bagaimanapun lemang yang dijual ini mengikut saiz yang berbeza-beza ini adalah berasaskan kepada beras pulut. Contoh pengusaha yang menjual lemang ini di kawasan Lembah Kelang ialah Lemang 12 yang beroperasi di PJCC, Petaling Jaya yang boleh dipesan secara atas talian menerusi laman web Lalamove.

Lemang yang diusahakan oleh Achey Raja Lawak yang dikenali dengan nama Lemang Ustaz pula dijual mengikut pilihan kandungan dan pakej. Dua pilihan lemang yang ditawarkan ialah lemang asli yang menggunakan beras pulut yang dijual dengan harga RM 15 manakala lemang yang berintikan jagung dijual dengan harga RM 18 sebatang. Lemang ini boleh dipadankan dengan rendang ayam yang boleh dibeli dengan harga mengikut berat iaitu 500 g dengan harga RM 18 dan 1 kg dengan harga RM 34 manakala rendang daging boleh dibeli dengan harga mengikut berat 500 g dengan harga RM 20 dan 1 kg dengan harga RM 38. Lemang Ustaz ini boleh dibeli secara fizikal di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh atau boleh dibeli secara atas talian menerusi pautan yang disediakan oleh Lalamove.

Lemang Tok Abah yang beroperasi di Wangsa Melawati sejak dari tahun 2013 menawarkan tiga pilihan kandungan iaitu asli, jagung dan pulut hitam. Lemang asli dijual dengan harga RM 15 sebatang manakala jagung dan pulut hitam dijual dengan harga RM 23 sebatang. Juadah ini boleh dibeli dengan rendang atau serunding daging atau ayam yang dijual dengan harga RM 16 untuk 200 g bagi rendang dan RM 15 untuk 100 g bagi serunding.

Lemang Sahabat yang beroperasi di Bukit Kapar menawarkan lemang yang dibalut dengan daun lerek yang dikatakan dapat menghasilkan aroma yang wangi selain rasa yang enak kerana kelembutan yang terhasil dari santan asli yang terjerap dalam daun lerek. Dengan menggunakan daun lerek, lemang ini juga mampu disimpan dalam tempoh yang lebih lama berbanding lemang yang dibalut dengan menggunakan daun pisang. Terdapat tiga pilihan kandungan yang ditawarkan ialah asli, jagung dan pulut hitam yang dijual dari harga serendah RM 16 sebatang.

Pengusaha berikutnya yang turut menjadikan daun lerek sebagai pelapik lemang ialah Lemang Daun Lerek yang beroperasi di Taman Greenwood Gombak. Perusahaan lemang ini mungkin boleh dianggap sebagai antara yang paling lama bertahan kerana sudah memulakan operasi sejak dari tahun 1992 menurut laporan Luqman Hakim pada 22 April 2023 yang tersiar dalam New Straits Times. Faktor utama yang menyebabkan masih bertahan ialah penggunaan daun lerek yang menghasilkan aroma tersendiri di samping penggunaan santan segar sehingga turut menggamit kedatangan pelancong asing untuk merasai sendiri keenakannya.

Lemang Power yang telah beroperasi sejak dari tahun 2008 di Bandar Tun Razak, Cheras bukan sahaja terkenal dengan harganya yang murah tetapi juga kerana rendangnya yang unik. Selain lemang, Lemang Power turut menjual rendang daging atau ayam yang dikenali dengan nama rendang hijau kerana menggunakan cili hijau sebagai ramuan utamanya. Sebatang lemang dijual dengan harga serendah RM 13. Lemang Panjang yang terletak di Kampung Sungai Ramal, Kajang menawarkan variasi rendang yang boleh dipadankan dengan lemang yang dijual mengikut saiz dan pilihan kandungan. Pilihan lemang yang dijual ialah asli, jagung dan pulut hitam yang boleh dibeli mengikut saiz iaitu dari yang paling kecil hingga yang paling besar. Variasi rendang yang dijual ialah ayam, daging, itik dan kerang. Uniknya lemang yang ditawarkan di sini ialah wadah atau bekasnya yang bukan sahaja menggunakan buluh tetapi juga periuk kera. Lemang ini boleh dibeli secara atas talian menerusi laman web lemangpanjang.beepit.com.

Secara kasarnya, pengusaha lemang boleh memperolehi pendapatan yang mencecah puluhan ribu ringgit malahan ratusan ribu ringgit hanya pada musim perayaan sahaja. Sebagai contoh Lemang Power yang menurut artikel Lalamove yang tersiar pada 29 Mac 2023 di laman web rasmi mereka pernah menjual 20 000 batang lemang pada musim Aidilfitri jika dicongak secara kasar memperolehi pulangan sebanyak antara RM 260 000 (saiz S dijual RM 13) hingga RM 400 000 (saiz XXL dijual RM 20). Manakala menurut tulisan Nizam Zain pada 24 April 2023 yang tersiar di laman Malaysia Gazette, Pak Dean Lemang Tradisi yang beroperasi di sekitar Lebuhraya Lingkaran Tengah II, Hulu Kelang yang berhampiran dengan Zoo Negara menyediakan 100 000 batang buluh untuk memenuhi permintaan dan tempahan sepanjang musim Aidilfitri. Harga yang dijual pula adalah antara RM 16 hingga RM 20. Maka secara kasar, pengusaha tersebut mampu menjana pendapatan sekitar RM 1.6 juta hingga RM 2 juta.

Selain pengusaha lemang, pembekal buluh turut menerima tempias durian runtuh. Sebagaimana yang dilaporkan oleh Nazdy Harun dalam Berita Harian pada 9 April 2023, sebatang buluh dijual dengan RM 2. Itu belum termasuk pelapiknya seperti daun lerek yang dijual dengan harga RM 1 sehelai. Untuk sambutan Aidilfitri tahun ini misalnya, seorang pembekal buluh dari Terengganu telah memperuntukkan sebanyak 20 000 batang buluh untuk dijual kepada pengusaha lemang. Secara kasar, jualan itu boleh memperolehi pendapatan sebanyak RM 40 000 dalam musim perayaan sahaja.

Terdapat juga pengusaha lemang yang memanfaatkan keuntungan yang diperolehi hasil dari jualan lemang untuk disalurkan ke jalan kebajikan. Pertubuhan Belia Gugusan Salak (BAGUS) sebagaimana yang dilaporkan dalam Bebas News pada 21 April 2023 telah menyasarkan jualan sebanyak 28 000 batang lemang sepanjang perayaan Aidilfitri tahun ini. Sebatang lemang pula dijual antara harga RM 16 hingga RM 20. Perusahaan yang telah dimulakan sejak dari tahun 2011 itu setakat ini berhasil menyalurkan sumbangan berupa van jenazah, kit pengurusan jenazah dan bantuan persekolahan pada tahun-tahun sebelumnya manakala pada musim perayaan kali ini, pertubuhan tersebut berhasrat untuk menyalurkan sumbangan berbentuk tempat perbaringan selepas jenazah dimandikan.

Walau bagaimanapun, tidak semua buluh sesuai untuk dijadikan bekas lemang. Justeru, baik pembekal mahupun pengusaha perlu tahu jenis buluh yang boleh digunakan untuk membuat lemang agar produktiviti dapat ditingkatkan dan kos menjadi lebih efektif. Buluh yang terlalu tebal mungkin bagus untuk ketahanan api tetapi menjadi sangat lama untuk dimasak. Salah satu jenis buluh yang dikenal pasti bagus untuk dijadikan bekas lemang ialah buluh tali. Buluh jenis ini bukan sahaja mempunyai ruas yang tebal tetapi juga mempunyai tempoh masak yang lebih singkat iaitu sekitar 4 hingga 6 jam sahaja sebagaimana yang dijelaskan oleh pembekal buluh lemang di Pontian, Johor dalam Buletin TV3 yang tersiar secara atas talian pada 16 April 2023. Buluh lain yang boleh digunakan untuk pembuatan lemang sebagaimana yang disenaraikan oleh M Anem pada 28 April 2021 yang boleh diakses di laman web Anim Agro Technology ialah buluh nipis, buluh padi, buluh urat dan buluh rusa atau buluh pelang. Buluh tersebut mempunyai ciri-ciri seperti batang yang nipis, lurus dan mempunyai ruas yang panjang yang bukan sahaja boleh digunakan untuk tujuan perusahaan lemang tetapi juga untuk hasil kerja kraftangan.

Menyedari lemang mempunyai prospek yang cerah, terdapat pengusaha yang mengambil inisiatif menanam buluh kategori lemang ini di tanah sendiri. Hasilnya beliau bukan sahaja boleh menggunakan buluh tersebut untuk pembuatan lemang malah boleh membekalkan pula buluh tersebut kepada pengusaha lain. Buluh tersebut dijual dengan harga sekitar RM 1.40 seruas sebagaimana menurut artikel Roselan Ab Malek yang tersiar dalam Berita Harian pada 29 April 2022. Secara kasar, sebatang buluh biasanya mempunyai beberapa ruas dan jika tempahan yang diterima adalah sekitar 40 000 batang, maka seseorang pengusaha buluh itu mungkin boleh menerima imbuhan sekitar RM 168 000 (anggap jika sebatang buluh mempunyai minimum 3 ruas yang boleh digunakan). Itu belum lagi dikira dengan buluh yang telah dimasukkan pelapik seperti daun pisang yang mempunyai harga yang berbeza.

Ternyata perusahaan lemang dan buluh boleh berkembang jauh kerana makanan tradisional ini mempunyai kedudukannya yang tersendiri khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu bahkan kini turut digemari oleh bangsa lain. Pada musim perayaan, juadah tidak akan lengkap atau suasana tampak tidak berseri sekiranya tidak dihiasi dengan lemang yang menjadi pembuka selera di sisi rendang atau serunding.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.