Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam usaha melahirkan ekosistem ekonomi yang seimbang dan efektif, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengadakan satu sesi perbincangan bersama-sama para pemain industri dan agensi kerajaan untuk menyediakan Pelan Pembangunan Ekonomi Melayu dan Bumiputera, petang ini.
Sesi perbincangan ini merupakan satu daripada pengisian Program Retreat Hala Tuju dan Pelan Cadangan Tindakan Ekonomi anjuran DPMM. Program yang berlangsung selama tiga hari itu berlangsung di Anjung Melayu, Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur melibatkan para pemegang taruh ekonomi Melayu dan Bumiputera.

Objektif utama sesi perbincangan tersebut adalah untuk mendapatkan pandangan pemain industri dan agensi yang berkaitan tentang permasalahan ekonomi Melayu dan Bumiputera, seterusnya merangka draf strategi jangka pendek dan panjang yang jelas serta spesifik untuk dibawa kepada pertimbangan pihak Kerajaan Malaysia. Hal ini sejajar dengan usaha untuk melahirkan usahawan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing, sekali gus merapatkan jurang pendapatan yang dilihat semakin ketara.
Dalam sesi perbincangan itu, beberapa pendekatan digunakan bagi merangka model perniagaan baharu. Antaranya termasuklah memberikan penekanan terhadap keupayaan inovasi dan penciptaan, serta pengurusan rantaian bekalan agar selari dengan perkembangan teknologi dan peralihan masa. Pelan Pembangunan Ekonomi Melayu dan Bumiputera ini dijangka dapat membantu para usahawan mendepani cabaran semasa dan melonjakkan ekonomi Melayu dan Bumiputera.
Sesi perbincangan yang berlangsung selama dua jam itu dihadiri oleh beberapa wakil pemain industri utama negara, antaranya termasuklah pihak Petronas, UDA Holdings Berhad, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu dan usahawan minyak dan gas tempatan. Yang turut hadir ialah wakil agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Jabatan Kerja Raya.