22 November 2022, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa produktiviti buruh Malaysia meningkat 10.1% dalam suku ketiga 2022 berbanding 5.5% pada suku kedua selari dengan kerancakan semula ekonomi yang menyaksikan keluaran dalam negara kasar (KDNK) mengukuh sebanyak 14.2%.
Bilangan pekerja bagi suku ketiga meningkat 3.6% berbanding 3.2% pada suku kedua sekali gus merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM24 241. Produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja turut meningkat hampir tiga kali ganda kepada 3.8% berbanding 1.3% pada suku kedua 2022. Jumlah jam bekerja naik pada suku ini dengan catatan 10.0% yang merekodkan 9.0 bilion jam selari dengan pengembangan prestasi ekonomi negara berdasarkan pelbagai indikator termasuk data terkini bagi bulan September 2022. 

Produktiviti buruh bagi nilai ditambah per pekerja pada suku ini menunjukkan peningkatan dalam semua sektor dengan produktiviti buruh tertinggi dicatatkan oleh sektor pembinaan pada 14.9%. Sektor perkhidmatan turut mencatatkan pertumbuhan dua digit pada 11.4% dengan semua subsektor merekodkan pertumbuhan positif dengan subsektor makanan dan minuman serta penginapan mencatatkan pertumbuhan produktiviti paling tinggi pada 43.7%.

Produktiviti sektor pembuatan tumbuh 8.2% pada suku kedua 2022 dengan kadar pertumbuhan tertinggi dicatatkan oleh subsektor minuman dan produk tembakau pada 49%.  Selepas itu, diikuti oleh subsektor peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan pada 30.5%, subsektor produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan pada 13.2% dan produk elektrik, elektronik dan optikal pada 11.5%.
Pada suku ketiga 2022, produktiviti buruh bagi nilai ditambah per pekerja bagi perlombongan dan pengkuarian dan pertanian kembali pulih mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 8.8% dan 1.8%. Mengukur produktiviti bagi nilai ditambah per jam bekerja, sektor perkhidmatan meningkat paling tinggi pada 6.0% diikuti perlombongan dan pengkuarian pada 4.2% dan pembuatan pada 1.4%.
Kerancakan semula aktiviti ekonomi dan sosial serta turut disokong oleh keadaan pasaran pekerjaan dan pendapatan yang bertambah baik telah diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh. Sejajar dengan perkembangan tersebut, pasaran buruh juga dijangka akan terus berada dalam kedudukan yang berdaya saing pada bulan bulan seterusnya.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.