14 November 2022, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pelabur asing kembali membeli ekuiti Malaysia pada minggu lalu sebanyak RM425.62 juta yang menyaksikan tiga sektor mencatat aliran masuk bersih paling tinggi.
Laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati sektor perkhidmatan kewangan mencatat aliran masuk asing sebanyak RM137.6 juta diikuti perkhidmatan dan produk pengguna (RM133 juta) dan penjagaan kesihatan (RM70.4 juta). Setelah muncul sebagai penjual bersih ekuiti tempatan pada minggu sebelumnya, pelabur asing membeli ekuiti setiap hari minggu lalu dengan aliran paling tinggi direkodkan pada hari khamis dan jumaat masing-masing sebanyak RM97.42 juta dan RM105.96 juta. Sementara itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar asing paling tinggi ialah pembinaan sebanyak RM10.2 juta diikuti pengangkutan dan logistik (RM4 juta) dan REIT (RM1.4 juta).
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan kembali menjual ekuiti tempatan sebanyak RM252.04 juta selepas membeli ekuiti pada minggu sebelumnya. Aliran keluar itu dicatatkan pada hari isnin hingga hari khamis dengan masing-masing sebanyak RM82.67 juta, Selasa (RM36.93 juta), Rabu (RM63.7 juta) dan Khamis (RM78.75 juta). Pada hari Jumaat, mereka membeli ekuiti berjumlah RM10.01 juta.

Sementara itu, pelabur runcit turut menjual ekuiti pada minggu lalu sebanyak RM173.57 juta. Selai itu, pelabur runcit juga merekodkan aliran keluar paling tinggi pada hari jumaat berjumlah RM115.97 juta. MIDF Research menyatakan bahawa dana antarabangsa merekodkan aliran masuk ekuiti sebanyak RM6.18 bilion dalam tempoh 26 minggu daripada 45 minggu setakat tahun ini. Keadaan itu diikuti dengan pelabur institusi tempatan yang menjual ekuiti sebanyak RM8.14 bilion dalam tempoh 31 minggu manakala pelabur runcit pula membeli RM1.96 bilion ekuiti dalam tempoh 26 minggu setakat tahun ini.
Firma itu menjangkakan penyertaan pasaran yang lebih kukuh minggu ini kerana pelabur dijangka mengambil kedudukan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada hari sabtu ini dan semakan semula setengah tahun FBM KLCI. Pada minggu lalu, indeks utama FBM KLCI menokok 2.08% atau 29.93% untuk berakhir pada 1468.21 mata manakala ringgit menambah nilai kira-kira 2.64% berbanding dolar AS bagi mengakhiri dagangan Jumaat pada RM4.6225.
Pasaran tempatan bagi minggu berakhir 11 November itu didorong data ekonomi yang lebih baik terutama apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 14.2% melepasi unjuran pasaran pada 12.5% manakala kadar pengangguran pada September juga susut kepada 3.6%.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.