31 Oktober 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Malim –  Siswazah merupakan pemangkin kemampanan pembangunan negara.  Menyedari tentang peri pentingnya peranan mahasiswa terhadap pembangunan sektor ekonomi negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan serta Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bekerjasama menganjurkan program “Penyuburan Minda Keusahawanan Siswazah melalui Pemupukan Bakat Penulisan Bersama-sama Dewan Ekonomi“.

Program kerjasama antara DBP dengan Pusat Karang Mengarang, UPSI ini juga diadakan bersempena dengan Pesta Buku 100 Tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Fiesta Buku Muallim 2022 di UPSI, Tanjung Malim, Perak (yang berlangsung dari 31 Oktober 2022 hingga 3 November 2022).

Program yang menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Profesor Madya Dr. Zuraidah Zainol pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI dan Puan Ritah Yahaya, editor  Dewan Ekonomi ini berjaya mengumpulkan kira-kira 100 orang mahasiswa dan pensyarah FPE.

Objektif program adalah untuk membudayakan ilmu melalui galakan membaca bahan bacaan yang bermutu dalam bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat. Di samping itu, program ini bertujuan mempergiat kegiatan persuratan melalui pemupukan bakat penulisan dalam bahasa kebangsaan kepada bakal penulis melalui sesi perbincangan dan  soal jawab antara editor dengan peserta untuk menghasilkan karya yang sesuai dan bermutu agar dapat diterbitkan dalam majalah Dewan Ekonomi.

Selain itu, penganjuran program ini  bertujuan menjelaskan kepentingan nilai dan minda keusahawanan dalam mencipta, mencemerlangkan kerjaya dan mengupayakan kebolehpasaran siswazah.

Profesor Madya Dr. Zuraidah mengupas isu berkaitan dengan ekonomi semasa dan memberikan kesedaran kepada para mahasiswa agar mereka bersiap siaga membangunkan diri dan menyuburkan minda keusahawanan bagi mengupayakan kebolehpasaran siswazah, khususnya dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi tempatan dan global pada hari ini. Antara elemen yang dikaitkan dalam minda keusahawanan, termasuklah berilmu pengetahuan yang luas, positif, berfikir secara kreatif dan kritis, dan berazam serta berusaha bersungguh-sungguh dengan melihat masalah sebagai peluang.

Sementara itu, Puan Ritah Yahaya menjelaskan kepentingan minda keusahawanan yang mempunyai kerelevanan dengan ekonomi industri kreatif. Satu daripada komponen penting dalam industri kreatif ialah bidang penerbitan. Bidang penerbitan mempunyai kaitan rapat dengan kegiatan dan hasil penulisan. Oleh hal yang demikian, Puan Ritah membincangkan teknik dan petua penulisan rencana yang baik dan bermutu berkaitan dengan bidang ekonomi yang boleh menarik perhatian sidang editor, khususnya majalah Dewan Ekonomi untuk diterbitkan.

Menurut beliau,  kegiatan penulisan boleh menjanakan pendapatan tambahan kepada golongan mahasiswa yang turut terkesan dengan keadaan ekonomi semasa. Sekiranya seseorang itu mempunyai minat, berdisiplin dan tekal dalam menghasilkan penulisan, berani meneroka peluang dan mahu berkongsi ilmu melalui pelbagai wadah, sama ada secara konvensional ataupun digital, mereka berupaya menjanakan pendapatan untuk meringankan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Program ini berjaya mencapai objektifnya apabila mendapat respons yang amat mengalakkan daripada para pensyarah dan mahasiswa FPE melalui sesi ceramah dan kuiz yang dianjurkan. Penasihat program, Profesor Madya Dr. Khoo Yin Yin mengharapkan agar program yang baik seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi  menyuburkan minda keusahawanan dalam kalangan siswazah.

Kenyataan ini turut disokong oleh penyelaras program, Dr. Kesavan Nallaluthan yang melihat pembangunan minda keusahawanan sebagai elemen yang sangat penting bagi mengupayakan kebolehpasaran siswazah yang perlu digerakkan pada peringkat  universiti lagi.  

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.