4 September 2022, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Aku
Bukanlah seorang perwira
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Aku lah penyambung warisan

(Petikan lirik lagu Warisan. Nyanyian Dato’ Sudirman bin Haji Arshad)

31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat yang semestinya  tersemat kemas dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Sesungguhnya tarikh ini merupakan tarikh bersejarah apabila negara mencapai kemerdekaan dan bebas daripada cengkaman penjajah. Tahun 2022 ini genaplah 65 tahun bumi bertuah ini merdeka dan disambut penuh meriah bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”.

Pemilihan tema pada tahun ini menekankan konsep keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Antara mesej yang ingin disampaikan melalui tema ini ialah perlunya sikap bersatu padu dalam kalangan masyarakat dalam mewujudkan keharmonian sebagai pemangkin kemakmuran dan kestabilan sesebuah negara. Rakyat yang tidak bersatu padu boleh mendatangkan risiko kepada tanah air seperti perpecahan dalam masyarakat, kegawatan sosioekonomi, politik dan ketidaktenteraman.

Hikmah ujian COVID-19 melanda negara

Meneliti  lirik dalam lagu Warisan, liriknya menggambarkan secara jelas bahawa segenap lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab yang sama, iaitu sebagai penyambung warisan dalam mengekalkan ekosistem keharmonian dan kesejahteraan negara kita agar sentiasa terpelihara. Jika diimbau cara kita bergelut mengharungi situasi pandemik COVID-19 selama lebih dua tahun ini, ternyata ujian getir tersebut sudah cukup menguji keteguhan dan kebersamaan kita dalam mendepani segala rintangan dan cabaran terutamanya ketika sektor ekonomi negara amat terkesan pada ketika itu.

Umum mengetahui bahawa dalam keadaan COVID-19  ketika itu, kerajaan perlu menampung lebih banyak perbelanjaan untuk membantu rakyat yang terkesan melalui pelaksanaan pelbagai program seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Khas Prihatin (GKP), dan pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) semata-mata untuk memastikan nasib rakyat terbela dan aktiviti ekonomi negara terus berkembang.

Selain  itu, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) turut disalurkan kepada golongan B40 dan T20. Bantuan ini bertujuan membina semula motivasi rakyat yang rendah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kerajaan dalam Pembentangan Belanjawan 2022 juga memperuntukkan sebanyak RM8.2 bilion untuk manfaat sebanyak 9.6 juta orang di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) selain pelancaran beberapa inisiatif untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara seperti Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang mampu memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat untuk bangkit selepas lebih dua tahun berperang dengan wabak COVID-19.

Mungkin tidak banyak orag yang cuba  menilai dan memahami tatacara kerajaan memperoleh sumber dana atau pendapatan dalam merencana serta melaksanakan pelan rangsangan ekonomi ini. Hakikatnya, perlu diingat bahawa hasil utama negara diperoleh daripada hasil cukai yang terbahagi kepada dua komponen, iaitu cukai langsung dan cukai tidak langsung yang cukai langsung menyumbang hampir 40% kepada belanjawan negara bagi tahun 2022. Komponen hasil cukai ini terbukti mempunyai peranan yang amat penting untuk memastikan segala projek dan pakej pembangunan yang direncanakan mampu dilaksanakan oleh kerajaan.

Hasil negara benteng keamanan negara

Bersempena dengan sambutan hari kebangsaan ini, rakyat Malaysia sering disajikan dengan tontonan filem mengenai jasa para pahlawan terdahulu yang bergadai nyawa demi keselamatan dan kedaulatan negara sebagai satu elemen penghayatan kemerdekaan. Malah, baru-baru ini juga tayangan filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusoff berjaya menjentik semangat patriotisme dalam kalangan para penonton selain mencatatkan keuntungan luar biasa dan di luar dugaan. Namun hakikatnya, perubahan peredaran zaman menuntut kita untuk mempertahankan kedaulatan negara dengan cara tersendiri. Kalau dahulu kita dituntut supaya menyertai pasukan Rejimen Askar Tanah Melayu (RAMD) bagi menjaga keselamatan negara, tetapi kini setiap individu rakyat Malaysia mampu menjaga kedaulatan negara melalui medium percukaian.

Manfaat cukai kepada kesejahteraan negara tidak boleh dinafikan lagi kerana hasil negara yang mampan mampu menjadi benteng kepada pertahanan negara. Walaupun negara masih berperang dengan wabak COVID-19 sejak tahun 2020, tetapi rekod kutipan cukai langsung negara mencatatkan kutipan yang memberansangkan pada tahun 2021 dengan kutipan sebanyak RM 144 bilion. Data ini menunjukkan tanda positif kepada kadar tahap pematuhan cukai dalam kalangan rakyat Malaysia. Maka, kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dan bersyukur dengan nikmat keamanan yang telah kita kecapi hasil sumbangan cukai selama ini.

Menurut laporan pembentangan Bajet 2022 oleh YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing  diperuntukkan dana sebanyak RM16 bilion dan RM17 bilion bagi tujuan memperkasakan benteng pertahanan negara, termasuklah RM1.6 bilion bagi mempertingkat kesiagaan aset utama Angkatan Tentera Malaysia dan RM14 juta untuk menggantikan peralatan utama pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan khas udara (PASKAU) bagi menjamin keselamatan negara.

Nilai ini tidak mampu disediakan andainya rakyat Malaysia culas dalam menjalankan tanggungjawab mereka membayar cukai kepada negara. Hasil negara merupakan benteng keamanan negara yang perlu dipertahankan. Mungkin pada hari ini kita mampu tersenyum menyaksikan anak kita bermain dengan penuh gembira, namun esok lusa belum tentu kita dapat mewariskan tanah air tercinta ini kepada anak cucu kita seandainya tanggungjawab kita melalui sumbangan cukai gagal kita laksanakan.

Mensyukuri nikmat keamanan dengan melaksanakan tanggungjawab anda

Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur dan aman dengan rakyatnya yang berbilang kaum. Rakyat Malaysia mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain. Sebagai penduduk negara yang bertuah ini, marilah kita bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian supaya nikmat itu berkekalan. Bersyukurlah, kerana hingga hari ini kita diberi nikmat tidur yang tenang, melakukan aktiviti sosial serta bergerak dengan bebas, keluar bekerja pada sebelah pagi dan pada petangnya balik ke rumah bertemu insan tersayang. Keselamatan dan kedaulatan negara ini dijaga dengan sepenuh hati, jiwa dan raga oleh pihak berkuasa yang semestinya tanpa mereka, lena kita tidak mungkin setenang ini, makan kita tidak mungkin senikmat ini.

Hakikat yang perlu kita terima ialah cukai merupakan bayaran yang dibuat oleh rakyat untuk kebajikan diri, terutamanya apabila menyentuh aspek keselamatan dan keamanan negara. Secara ringkasnya, konsep cukai ialah satu bentuk kerjasama antara rakyat dengan kerajaan untuk kepentingan bersama-sama apabila cukai yang diterima daripada rakyat kemudiannya akan digunakan kembali untuk manfaat rakyat. Oleh hal yang demikian, tanggungjawab membayar cukai merupakan satu cara untuk kita mensyukuri  nikmat kemerdekaan agar  kekal selama-lamanya hingga ke anak cucu. Setiap sen wang cukai yang dibayar diterjemahkan dalam bentuk kehidupan yang harmoni dan tenteram yang mana semuanya mampu disediakan oleh pihak kerajaan selagi mana hasil pendapatan negara  stabil dan mencukupi.

Mensyukuri nikmat keamanan negara haruslah dibuktikan dengan tanggungjawab setiap individu untuk mendidik masyarakat sekeliling akan pentingnya kesedaran pendidikan cukai sejak dari awal lagi. Oleh hal yang demikian, HASiL sebagai sebuah agensi pentadbir cukai negara bertanggungjawab memastikan rakyat Malaysia celik cukai melalui pendidikan dan kesedaran cukai dengan memfokuskan usaha berdasarkan  tiga (3) pendekatan utama, iaitu  (A) Awareness, (E) Education  (S) Services atau ringkasnya AES.

HASiL akan terus mengamalkan tiga perkara ini dalam usaha menunjukkan peranan HASiL sebenarnya adalah sebagai pemudahcara pematuhan atau facilitator of compliance. Secara tidak langsung, melalui pendekatan ini, iharapkan tahap pematuhan pembayar cukai akan terus meningkat kerana HASiL memberikan didikan yang sempurna sejak dari awal. Nikmat keamanan ini mampu dipertahankan sekiranya seluruh rakyat Malaysia menjalankan tanggungjawab percukaian mereka secara sukarela. Hal ini demikian kerana hanya dengan cara ini sahaja negara boleh menjamin kutipan cukai yang lebih mampan.

Usaha  mempertahankan nikmat kemerdekaan dan keamanan ini perlulah dibuat secara berterusan. Janganlah kita menjadi generasi yang lupa akan perjalanan serta perjuangan terdahulu dengan berasa selesa dan mengambil mudah dengan apa-apa yang kita ada sekarang. Hayatilah erti sebuah kemerdekaan dan pertahankanlah negara kita dengan melaksanakan tanggungajwab sebagai pembayar cukai kepada negara. Bukan semua orang yang mampu mengangkat senjata dan berjuang di barisan hadapan. Namun, dengan sumbangan cukai yang kita salurkan pada hari ini sebenarnya mampu mempersiapkan pasukan keselamatan negara dengan kelengkapan terkini demi menjaga kedaulatan negara. Pepatah Melayu  mengungkapkan “Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh” yang memberikan seribu makna untuk kita bersama-sama membangunkan negara yang kita cintai ini melalui platform serta medium percukaian.

Marilah sama-sama kita merapatkan saf dan berazam agar semangat Hari Kebangsaan ke-65 dengan tema “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” dapat kembali menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri kita dan menyemai budaya integriti untuk Malaysia yang lebih sejahtera demi masa hadapan generasi pewaris kita.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Disediakan oleh:
Bahagian Komunikasi
Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.