23 Ogos 2022, 17:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Forum “Pemasaran Buku Karya Cendekia” bersempena dengan Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022, yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada pukul 11.00 pagi tadi menampilkan tiga orang ahli panel yang berkongsikan ilmu berkaitan dengan pemasaran karya ilmiah yang sangat menarik.

YBhg. Prof. Dr. Roosfa Hashim.

Menurut YBhg. Prof. Dr. Roosfa Hashim, iaitu Bendahari Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia, yang juga merangkap Pengarah Pusat Penerbit Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pada hari ini banyak penerbit ilmiah telah berpindah kepada medium e-dagang. Kini, penerbitan ilmiah juga terdiri daripada penerbit dari Universiti Awam dan organisasi lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Katanya, penerbitan ilmiah di negara ini turut disokong oleh persatuan yang turut menyokong usaha penerbitan jurnal.

Saya kurang bersetuju jika ada pendapat yang mengatakan bahawa buku kita masih tidak mencapai piawaian standard dari segi reka bentuk. Hal ini dikatakan demikian kerana  buku dari negara Malaysia ada yang memenangi pelbagai anugerah buku di luar negara.

Namun begitu, beliau bersetuju jika dikatakan bahawa pengisian kandungan buku negara hanya untuk bacaan masyarakat Malaysia semata-mata. Oleh itu, beliau mencadangkan agar penulisan buku perlu diluaskan konteksnya supaya orang luar negara juga boleh membacanya bagi tujuan menyebarluaskan ilmu kepada pembaca umum. Hal ini memerlukan perubahan dari segi pendekatan penulisan dan bahasa yang lebih menarik.

YBhg. Prof. Madya Dr. Abdul Malek.

Sementara itu, YBhg. Prof. Madya Dr. Abdul Malek, dari Gedung Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Maritim Raja Ali Haji, Indonesia pula menyatakan bahawa terdapat kira-kira 25 ribu judul buku setahun yang diterbitkan di Indonesia.

Tambah beliau, penerbitan buku ilmiah di Indonesia masih kurang dan masih belum memenuhi pencapaian yang diharapkan. Antara buku yang laris di pasaran termasuklah buku sastera dan buku bacaan untuk kanak-kanak.

Antara kaedah pemasaran yang digunakan di Indonesia dalam kalangan penerbit buku ialah mereka banyak mengadakan kerjasama dengan universiti dan kerajaan negeri terutamanya bagi kegunaan di sekolah.

Menurutnya lagi, antara sebab permintaan buku sastera tinggi dalam kalangan masyarakat dan pemasaran buku sastera berjalan lancar ialah penulisnya terdiri daripada penulis yang hebat namun tetap menggunakan bahasa ibunda, iaitu bahasa Indonesia yang menonjolkan ketamadunan dan kekayaan budaya Indonesia. Hal ini juga disebabkan promosi yang dilaksanakan oleh penerbit yang sangat berdaya maju dan berjaya

Encik Azmi Mustapha.

Encik Azmi Mustapha, iaitu Konsultan Pemasaran Buku Eropah dan Pengarah Dreiha Handels Und Consulting Service E.K pula menyatakan pandangan orang Eropah berkaitan dengan penerbit buku dari Malaysia, khususnya dari segi pemasaran buku ilmiah, iaitu menitikberatkan kualiti buku.

Faktor reka bentuk yang tidak mengikut piawaian standard juga menjadi punca buku Malaysia kurang mendapat sambutan di luar negara. Selain itu, buku Malaysia juga banyak dikarang untuk bacaan orang Malaysia dan bukannya untuk bacaan masyarakat antarabangsa. Oleh itu, amat susah untuk kita pasarkan buku kita ke luar negara.

Tambahnya, buku yang mempunyai nilai komersial adalah antara buku yang mudah dipasarkan seperti kandungan buku yang menarik.

YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan.

Forum yang disiarkan secara langsung menerusi FB Universiti Putra Malaysia ini turut menampilkan YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan, iaitu Pengarah Pusat Penerbit Universiti Putra Malaysia sebagai moderator.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.