15 Julai 2022, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menyatakan bahawa trend kes muflis bagi individu semakin menurun sejak tahun 2016 dan ini termasuk ketika kadar dasar semalaman (OPR) meningkat pada tahun 2018.
Beliau menyatakan sedemikian  berdasarkan trend dan maklumat terkini dari bank-bank dan institusi bukan bank terpilih (penyedia perkhidmatan sewa beli).
Jumlah belia (individu berumur kurang daripada 35 tahun) yang muflis juga menunjukkan trend penurunan yang sama, mencakupi 14% daripada jumlah kes muflis bagi tempoh Januari hingga Mei 2022 dengan purata bagi tempoh 2017 hingga 2019 ialah 24.9%. Beliau menyatakan demikian bagi mengulas isu muflis yang acap kali digembar-gemburkan sebagai sinonim dengan keadaan kewangan yang semakin parah selain tindakan Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia mengaitkan kenaikan OPR dengan trend muflis baru-baru ini.

Pada tahun 2018, sejumlah 5283 kes kebankrapan direkodkan manakala tahun 2019 pula mencatatkan sebanyak  3948 kes. Pada tahun 2020,  sebanyak 2844 kes dicatatkan dan tahun 2021 pula sebanyak 1884 kes bankrap direkodkan. Trend penurunan ini diambil tujuh institusi kewangan domestik yang mencakupi 71% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan. Beliau menyatakan bahawa banyak prosedur yang perlu dipatuhi oleh institusi kewangan atau pemiutang lain kerana untuk mengisytiharkan seseorang sebagai muflis bukan perkara mudah.

Beliau menjelaskan bahawa mengikut Prinsip Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan dan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh BNM, institusi kewangan dikehendaki memastikan peminjam yang menghadapi kesulitan dalam membayar balik pinjaman dilayan dengan adil dan diberi pertimbangan sewajarnya sebelum sebarang tindakan kebankrapan diambil. Beliau menambah bagi para peminjam yang menghadapi kesulitan untuk membuat bayaran balik pinjaman, mereka digalakkan mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing sebelum pinjaman tersebut menjadi pinjaman tidak berbayar.
Tindakan itu bagi mengelakkan petisyen kebankrapan difailkan oleh institusi kewangan.
Selain itu, tindakan itu membolehkan institusi kewangan menawarkan pakej bayaran balik pinjaman yang sesuai kepada peminjam bagi membantu mereka ketika menghadapi kesulitan kewangan. Peminjam juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk dipertimbangkan di bawah Program Pengurusan Kredit.
Program tersebut dapat membantu peminjam menstrukturkan semula pinjaman sedia ada dan seterusnya membolehkan peminjam untuk terus membayar balik pinjaman.
Hal ini dapat mengelakkan mereka daripada tindakan undang-undang yang boleh diambil seperti kebankrapan atau lelongan harta, sekiranya peminjam gagal meneruskan bayaran balik pinjaman. BNM juga bekerjasama rapat dengan rakan kongsi dan agensi lain melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) untuk mempergiat usaha meningkatkan celik kewangan dalam kalangan individu.
Beliau turut menjelaskan bahawa selain institusi kewangan, tindakan kebankrapan turut diambil oleh pemiutang lain yang berada di luar bidang kuasa BNM, seperti syarikat pemberi kredit, pembekal dan sebagainya. Oleh itu, kementerian dan agensi yang terbabit dalam hal ini sedang giat berusaha untuk memastikan peminjam/penghutang mendapat layanan yang adil dan bertanggungjawab melalui penggubalan Akta Kredit Pengguna dan penubuhan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna di bawah Kementerian Kewangan serta penetapan standard dan garis panduan yang seragam berkaitan dengan prinsip layanan adil kepada pengguna kewangan dan amalan pembiayaan yang bertanggungjawab.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.