28 Jun 2022, 23:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Profesor Dr. Koh Young Hun dari Jabatan Melayu Indonesia (Pengajian Melayu-Indonesia), Pusat Pengajian Asing, Universiti Hankuk (Hankuk University of Foreign Studies) Seoul, Korea mengatakan bahawa kini pemerintah Korea  memfokuskan dan menyokong sepenuhnya usaha memartabatkan pengajian bahasa asing.

Profesor Dr. Koh  menjelaskan bahawa beliau dan pasukannya dilibatkan oleh pemerintah Korea melalui kerjasama dengan Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST) yang berpusat di Daedeok Innopolis, Daejeon di Korea Selatan untuk membangunkan sebuah perisian pembelajaran Bahasa Melayu. Beliau menjelaskan demikian dalam program bual bicara “K- Pop Sebagai Produk Mempromosikan Bahasa Korea” yang disiarkan melalui Facebook TV Al-Hijrah pada 28 Jun 2022.

Projek pembinaan AI Tutor yang bernilai kira-kira USD1.5 juta ini dijangka selesai pada akhir tahun 2022. Apabila siap kelak, seseorang pelajar Bahasa Melayu/Bahasa Indonesia boleh mengajukan apa-apa pertanyaan berkaitan dengan Bahasa Melayu/Bahasa Indonesia melalui AI Tutor pada bila-bila masa dan akan memperoleh jawapan dengan segera.

Pembinaan perisian bagi memudahkan kaedah pembelajaran bahasa menurut beliau akan meningkatkan kecenderungan rakyat Korea mempelajari Bahasa Melayu. Pasukan beliau  berbangga kerana pemerintah Korea memberikan perhatian utama kepada kemajuan pembelajaran Bahasa Melayu di negara tersebut.

 

Profesor Dr. Koh Young Hun (kiri) bersama-sama Ku Seman Ku Hussain (moderator).

Menurut Profesor Dr. Koh, industri K-Pop berjaya membangunkan dan meningkatkan pendapatan per kapita ekonomi Korea. Industri K-Pop terbukti menjanakan pendapatan bernilai berbillion-billion dolar Amerika setahun hasil garapan kreativiti penggiat industri seni mereka mempromosikan produk kebudayaan Korea menerusi drama, filem, lagu, permainan secara dalam talian, video muzik, dan sebagainya.

Dari aspek lain, usaha untuk menjadikan Korea pengeluar teknologi berkaitan dengan bahasa pula terus dipergiat. Penghasilan perisian canggih berkaitan dengan pengajian bahasa sudah tentu akan memberikan impak yang lebih besar kepada industri kreatif Korea, khususnya dalam menguasai pasaran industri kreatif Asia dan global.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.