14 Jun 2022, 17:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selama 10 hari seluruh Keluarga Malaysia memberikan tumpuan cukup bertenaga kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PABKL) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (3 – 12 Jun 2022). Pastinya PBAKL 2022 yang cemerlang itu akan terus dikenang sebagai momen yang membangkitkan kembali semangat dan keazaman pencinta buku serta pemain industri perbukuan negara, khususnya kepada sejumlah 167 buah syarikat pempamer dan 709 buah reruai.

Kejayaan PABKL 2022 membuktikan bahawa lonjakan ekonomi industri buku tempatan sedang berlaku yang sebelum ini agak perlahan kerana dilanda pandemik COVID-19 dalam tempoh dua tahun yang lalu. Kini, industri perbukuan bagaikan mendapat vaksin dan dos penggalak dan berada pada tahap yang meyakinkan apatah lagi setelah mendapat jaminan daripada Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Usahawan dan Koperasi yang tidak akan mengabaikan penggiat dan pemain industri yang menjanakan kebijaksanaan bangsa.

Budaya cinta akan buku dan amalan membaca tetap subur dalam kalangan Keluarga Malaysia apabila jualan dan strategi secara dalam talian, khususnya melalui portal buku dan media sosial, khususnya Facebook dan Instagram terus memberangsangkan.

Rindu dendam pencinta buku akhirnya terlerai apabila dilaporkan pengunjung yang hadir ke PBAKL 2022 melebihi 1.3 juta orang pengunjung. Strategi pemasaran dan promosi yang berkesan menerusi pelantar digital dan media sosial  memberikan impak kepada jualan semua syarikat buku yang terlibat. Apatah lagi buat pertama kalinya pesta buku secara hibrid itu membudaya secara teguh dalam kalangan Keluarga Malaysia. Tidak hanya di Kuala Lumpur, tetapi peminat dan pencinta buku di seluruh negara juga menelusuri kempen pesta raya buku ini secara giat menerusi tanda pagar PBAKL yang mencapai sebanyak 13.6 juta tontonan di media sosial.

Yang menariknya, pengunjung sentiasa mengutamakan keselamatan, khususnya barangan peribadi dan kanak-kanak. Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan sepanjang berada dalam pesta raya buku ini. Oleh sebab penganjuran PBAKL tidak dapat diadakan dalam tempoh dua tahun ini akibat krisis pandemik COVID-19, maka penganjur mengumumkan  PBAKL 2022 mempunyai tarikan baharu yang unik, iaitu Peti Gergasi Sumbangan Buku.

Peti Gergasi Sumbangan Buku yang diletakkan di Aras 2 berdekatan dengan pentas utama berhampiran kaunter urus setia PBAKL itu merupakan hasil cetusan idea  pengikut Facebook penganjur. Cadangan  Peti Gergasi Sumbangan Buku datangnya daripada pemilik akaun Facebook Rabiah Adawyah atau nama sebenarnya, Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh.

Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh

Rabi’ahtuladawyah merupakan Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur amat gembira kerana cadangannya direalisasikan. Peti buku itu berjaya mengumpulkan koleksi buku daripada orang ramai sejak  dilancarkan pada 7 Jun 2022. Buku yang disumbangkan oleh pengunjung PBAKL 2022 itu akan diagihkan kepada perpustakaan sekolah dan desa.

Menurut Rabi’ahtuladawyah, idea dan simbolik Peti Gergasi Sumbangan Buku tercetus apabila mengimbau sejarah khazanah ilmu Alam Melayu. Ribuan manuskrip Alam Melayu dibawa  ke luar negara oleh penjajah seperti Portugis dan Belanda. Oleh hal yang demikian, Peti Gergasi Sumbangan Buku PBAKL 2022, diharapkan dapat mengumpulkan dan menyimpan khazanah buku daripada rakyat kepada rakyat.

Peti Gergasi Sumbangan Bukuini kekal menjadi lambang keprihatinan Keluarga Malaysia terhadap buku dan amalan membaca.

Syabas Malaysia!

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.