7 April 2022, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pesawatnya sebanyak 15% selain daripada 20% pada tahap pasca-COVID-19 yang diunjurkan bagi bulan ini susulan pembukaan semula sempadan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail menyatakan bahawa kumpulan syarikat penerbangan itu menyasarkan kapasiti terbabit mencecah paras 70% berbanding tahap kapasiti sebelum COVID-19.

MAG merupakan syarikat induk bagi syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd.

Beliau menambah MAG menyasarkan kapasiti itu mencecah 80% seiring dengan aliran peningkatan permintaan (penerbangan masuk) dari India, United Kingdom dan Eropah.
“Unjuran kami terhadap pertengahan tahun ini adalah menggalakkan dan sudah pasti (faktor) konflik di Eropah, impak kenaikan harga minyak memberi kesan, namun dari segi pergerakan, keadaan sangat menggalakkan.

“Perniagaan kami di peringkat domestik sama seperti yang dialami oleh pesaing lain di Malaysia. Kami turut melihat faktor beban muatan yang amat tinggi antara Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia Airlines Bhd dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Menurut Izham, kumpulan itu turut menyaksikan peningkatan tempahan sejak beberapa minggu lepas susulan pengumuman mengenai pembukaan semula sempadan bermula 1 April 2022.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim menyatakan bahawa  MoU tersebut bertujuan mempromosi serta memasarkan produk kraf tempatan menerusi inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada usahawan kraf dan juga pelanggan syarikat penerbangan nasional melalui platform digital Malaysia Airline, JOURNIFY.
“JOURNIFY merupakan platform e-dagang yang dibangunkan oleh Malaysia Airline untuk kemudahan pelancong mencari lokasi beli-belah, tempat makan, lawatan serta lain-lain info menarik di Malaysia.

“Kraftangan Malaysia menerusi Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd telah menyertai aplikasi JOURNIFY ini bermula 22 Februari 2022 dan sehingga kini sebanyak 63 unit produk kraf telah dimuat naik untuk dipromosi dan dipasarkan.” Menurutnya, produk kraf itu merangkumi tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf yang meliputi fesyen dan aksesori, hiasan rumah, cenderahati korporat dan produk pelancongan. Beliau menambah lagi jumlah tersebut akan ditambah secara berperingkat sehingga mencapai sasaran yang telah dipersetujui bersama sebanyak 100 unit.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.