31 Mac 2022, 08:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM1.39 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 untuk dua dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menyatakan bahawa ASB 2 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM514.5 juta, bersamaan 4.30 sen seunit kepada 481,030 pemegang unit yang kini memiliki 11.96 bilion unit. ASM pula mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM883.5 juta, iaitu bersamaan 4.00 sen seunit kepada 567,904 pemegang unit dengan pegangan 22.09 bilion unit.

ASB 2 merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM563.93 juta, manakala ASM mencatatkan RM1.03 bilion sehingga 22 Mac 2022. Pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASMĀ  bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 4.30% dan 4.00%, yang mana kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 1.85% sebanyak 245 mata asas untuk ASB 2 dan 215 mata asas untuk ASM. “Pendapatan bagi kedua-dua dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa, yang secara umumnya didorong oleh pembukaan semula ekonomi di kebanyakan negara seiring kita menuju ke fasa endemik. “Kedua-dua dana ini juga meraih keuntungan menerusi strategi kepelbagaian portfolio dengan peningkatan peruntukan dalam pelaburan antarabangsa kepada 18.7% untuk ASB 2 berbanding 15.7% pada tahun lalu, dan 20.5% bagi ASM berbanding 19.8% pada tahun 2021.”

Menurut PNB, pihaknya sentiasa berpegang teguh kepada mandat untuk memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit dan akan terus membina portfolio berdaya tahan yang mampu mengharungi ketidaktentuan ekonomi dan pasaran.
Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASMĀ  berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2022.

Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB bagi kedua-dua dana tersebut telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 23 hingga 31 Mac 2022 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan. Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di portal myASNB di www.myasnb.com.my, melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 April 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.