31 Mac 2022, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) dan syarikat Turki, FNSS Savunma Sistemleri AŞ (FNSS) bertukar perjanjian kerjasama (CA) untuk reka bentuk, pembangunan, fabrikasi, pembuatan, lokalisasi, pemasangan dan pembekalan kenderaan berperisai keluarga PARS FNSS kepada Kerajaan Malaysia.
Pertukaran dokumen tersebut telah disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Pavilion DEFTECH pada Defence Services Asia 2022 ke-17 (DSA 2022) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC).

DEFTECH diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Lt. Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar, manakala FNSS diwakili Pengurus Besar dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kadir Nail Kurt. DEFTECH telah bekerjasama dengan FNSS sejak 2011, bermula daripada pembekalan AV8 Gempita kepada Tentera Darat Malaysia. Program AV8 Gempita dijangka akan berakhir tidak lama lagi dengan penghantaran unit terakhir yang dijadualkan pada Disember 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DEFTECH, Fazley Ariffin menyatakan bahawa kerjasama di bawah program AV8 Gempita telah mendorong DEFTECH ke arah memberi tumpuan kepada pengeluaran kenderaan perisai tempatan untuk industri pertahanan Malaysia. “Kami telah bekerjasama dengan FNSS selama lebih 10 tahun dan telah membina hubungan yang kukuh dan membuahkan hasil. Kenderaan FNSS telah diterima baik oleh Tentera Darat Malaysia dan diiktiraf di peringkat global. “Kami ingin meneruskan perkongsian kukuh pada masa hadapan dan kami berharap kerjasama ini akan membawa lebih banyak peluang kepada kedua-dua pihak.”

Beliau menambah kerjasama itu akan berusaha memanfaatkan keupayaan teras masing-masing untuk melengkapkan tentera Malaysia dengan kenderaan perisai yang disokong oleh kepakaran teknikal tempatan. “Program AV8 Gempita ialah bukti pengalaman dan kemahiran tidak ternilai yang diperoleh melalui kerjasama ini. Ini telah membolehkan DEFTECH berkembang ke arah peningkatan pembuatan tempatan seterusnya akan meningkatkan lagi industri pertahanan Malaysia daripada segi kemahiran dan keupayaan.”

Ketua Pegawai Eksekutif FNSS, Kadir Nail Kurt pula menyatakan bahawa kerjasama dengan DEFTECH terbukti berjaya dalam tempoh dua dekad,yang telah melibatkan pemindahan teknologi reka bentuk dan pembuatan kenderaan perisai di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.