24 Mac 2022, 08:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan masih mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan model cukai kepenggunaan yang lain.  Kementerian Kewangan menyatakan bahawa kajian itu mengambil kira semua aspek termasuklah kelemahan sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada serta kelemahan sistem GST yang dilaksanakan pada tahun 2015.

“Kajian yang dijalankan turut meliputi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai ke atas harga barang serta keupayaan menangani kegiatan ekonomi gelap.” Jika cukai GST  dilaksanakan, cukai itu juga perlu bersifat mudah ditadbir dan tidak meningkatkan kos perniagaan di samping dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara. Menurut kementerian itu, ekonomi negara sedang berada dalam fasa pemulihan dan pelaksanaan sebarang bentuk cukai kepenggunaan yang baharu perlu mengambil kira senario semasa.

“Di samping itu, situasi itu juga memberi ruang bagi persiapan dan persediaan yang rapi di kedua-dua pihak kerajaan dan pembayar cukai.”

Sementara itu, kutipan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan kerajaan Persekutuan bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM25.48 bilion, yang terdiri daripada RM13.49 bilion daripada Cukai Jualan dan RM11.99 bilion daripada Cukai Perkhidmatan. Pada tahun 2020, Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang dikutip ialah berjumlah RM25.25 bilion merangkumi RM13.24 bilion daripada Cukai Jualan dan RM12.01 bilion daripada Cukai Perkhidmatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.