16 Mac 2022, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berserta sembilan Menteri Ekonomi ASEAN dijadual merangka Rancangan Kerja Ekonomi Serantau bagi 2022 dalam Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-28 secara maya pada Rabu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan bahawa sesi pemukiman tersebut akan turut meneruskan perbincangan dalam menetapkan keutamaan bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi serantau. “Di bawah tema ‘ASEAN A.C.T.: Addressing Challenges Together,’ Kemboja selaku Pengerusi ASEAN bagi 2022 akan membentangkan 19 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang bertunjangkan empat teras iaitu Meningkatkan Kesalinghubungan Digital, Sains dan Teknologi; Mengurangkan Jurang Pembangunan Daya Saing ASEAN; Menggalakkan ASEAN yang lebih Bersepadu, Inklusif, Berdaya Tahan dan Berdaya Saing dan Memperkasa Pembangunan dan Pertumbuhan ASEAN di Peringkat Global.”

MITI juga menyifatkan PED yang dicadangkan oleh Kemboja sebagai bertepatan dengan agenda pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang sedang dilaksanakan oleh ASEAN.

“Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dijangka menyokong kesemua PED tersebut di samping mengesyorkan hala tuju pelaksanaannya.” Pada masa sama, barisan menteri terbabit juga dijangka melancarkan Rundingan Penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).

“Selepas lebih sedekad pelaksanaannya, cadangan untuk menambah baik perjanjian ini yang juga salah satu PED ASEAN bagi 2022,  tepat pada masanya untuk memastikan ATIGA terus relevan dalam memacu rantau ASEAN menjadi ekonomi yang lebih bersepadu.” Ini penting bagi ASEAN untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi serantau yang berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.