11 Mac 2022, 08:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – RHB Banking Group mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 5.5% bagi tahun 2022 susulan jangkaan aktiviti ekonomi yang perlahan pada suku pertama.

Ketua ahli ekonomi dan ketua penyelidikan pasaran kumpulan, Sailesh K Jha menyatakan bahawa momentum jualan runcit bagi asas bulan ke bulan dijangka perlahan pada Februari dan Mac, manakala pada Januari, momentum berkemungkinan meningkat berikutan sokongan daripada musim perbelanjaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Penilaian ini adalah berasaskan kepada indeks jualan runcit sebenar kami setakat akhir Februari 2022. Oleh itu, kami tidak akan terkejut sekiranya KDNK suku pertama 2022 mencatatkan pertumbuhan perlahan bagi asas suku ke suku berbanding separuh kedua 2021. “Pada Februari dan Mac kami menjangkakan pasaran buruh akan menunjukkan kadar peningkatan perlahan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau turut menambah sentimen pengguna juga dijangka menerima kesan daripada isu berkaitan varian Omicron dan konflik di Ukraine. Menurut Sailesh, aktiviti industri yang bergantung besar kepada import bahagian dan komponen seperti auto dan produk elektrik dan elektronik akan dijangka menyederhana dalam tempoh terdekat disebabkan oleh kesesakan rantaian bekalan di sektor perkapalan Asia selain Jepun. Sementara itu, kesan musiman daripada musim perayaan pada Mei boleh menyediakan sedikit rangsangan kepada perbelanjaan pengguna bagi suku kedua 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.