11 Mac 2022, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin merujuk  Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) yang telah ditawarkan melalui Kenyataan Media bertarikh 16 November 2021. HASiL telah membuat keputusan untuk menamatkan PKPP yang telah ditawarkan tersebut berkuat kuasa mulai tarikh kenyataan media ini dikeluarkan susulan daripada pengumuman oleh Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 30 Disember 2021 tentang penambahbaikan dasar layanan cukai terhadap pendapatan luar negara.

Keputusan untuk menamatkan PKPP ini dibuat setelah mengambil kira pengecualian cukai yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan terhadap pendapatan daripada punca luar negara yang diterima di Malaysia oleh individu pemastautin (selain pendapatan perkongsian). Layanan pengecualian yang sama juga diberikan kepada pendapatan dividen daripada punca luar negara yang dibawa masuk oleh syarikat dan perkongsian liabiliti terhad. Pengecualian ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian) yang akan dikeluarkan di bawah seksyen 127 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Walau bagaimanapun, pendapatan punca luar negara lain yang tidak dikecualikan dan dibawa masuk ke Malaysia mulai 1 Januari 2022 hendaklah dilaporkan dalam Borang Nyata bagi tahun taksiran yang berkaitan. Pendapatan luar negara yang masih tertakluk kepada cukai dan dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022 akan dikenakan cukai pada kadar konsesi 3% seperti yang diumumkan melalui Bajet 2022 dan diperuntukkan di bawah Akta Kewangan 2021. Selepas tamat tempoh tersebut, kadar cukai asal akan terpakai mengikut kategori pembayar cukai yang berkenaan.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan dengan perkara ini boleh diajukan kepada HASiL melalui:

(a)  Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara);

(b)  HASiL Live Chat; dan

(c)  Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas,

https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.