Oleh Ritah Yahaya
10 Mac 2022, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba melancarkan MYStartup Roadshow dan Geran Pembiayaan Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), iaitu CIP SPARK dan CIP SPRINT. MYStartup anjuran Cradle agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ialah inisiatif yang dilaksanakan untuk memperkasakan ekosistem dan komuniti perniagaan permulaan (startup) di Malaysia menerusi pengisian program yang menumpukan pembangunan dan perkembangan startup secara mampan serta pembangunan kapasiti dan modal insan.

Dato’ Sri Dr. Adham Baba

Dato’ Sri Dr. Adham berkata, “Johor ialah lokasi pertama dalam siri jelajah ini. Dengan sokongan daripada Iskandar Investment Berhad, Common Ground Iskandar Space dan INFINITY 8 sebagai rakan strategik, hal ini menjadikan usaha MOSTI serta Cradle dalam memajukan lagi komuniti startup berada di landasan yang tepat”.

MOSTI bersama-sama Cradle melancarkan Program MYStartup untuk memastikan ekosistem startup di Malaysia dapat diperkukuh melalui program sokongan dan bimbingan teknikal yang lebih terangkum dan menyeluruh. Siri jelajah ini merupakan inisiatif tahunan Cradle yang bertujuan merapatkan jurang bagi startup yang berada di negeri lain serta memastikan mereka mendapat pendedahan dan peluang yang saksama kepada perkhidmatan yang disediakan oleh Cradle.

Sepanjang MYStartup Roadshow, Cradle akan memberikan penerangan terperinci serta hebahan mengenai program yang dilaksanakan bersama-sama dengan rakan strategik mereka. Ini termasuk kaedah-kaedah penyertaan bagi startup, kriteria permohonan geran, pemadanan perniagaan dengan dana yang bersesuaian dan sesi rangkaian.

Pada masa yang sama, dua geran baharu turut dilancarkan, iaitu CIP SPARK yang merupakan geran pembangunan bersyarat (Conditional Development Grant) yang menawarkan tempoh pembiayaan hingga 18 bulan dan terbuka kepada individu, syarikat persendirian, perkongsian liabiliti terhad dan syarikat jenis sendirian berhad. Manakala, CIP SPRINT pula merupakan geran pengkomersialan bersyarat boleh ubah (Conditional Convertible Commercialisation Grant) yang menawarkan tempoh pembiayaan selama 18 bulan dan terbuka kepada syarikat jenis sendirian berhad, termasuk syarikat milikan universiti dan institut penyelidikan.

Kedua-dua geran diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 ini merangkumi pembiayaan bagi pembangunan dan prapengkomersialan yang bertujuan membantu usahawan teknologi di peringkat awal untuk membangun dan mengkomersialkan produk mereka di pasaran. Selain menerima suntikan dana, pemohon CIP SPARK dan CIP SPRINT yang berjaya akan disokong dengan akses kepada rangkaian perniagaan serta perkhidmatan tambah nilai lain seperti pembangunan model perniagaan, bimbingan kemahiran pengesahan pasaran dan akses kepada pasaran.

Siri jelajah MYStartup ini akan diperluas ke lokasi lain di seluruh negara antaranya Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bagi memastikan komuniti startup yang berada di luar kawasan Lembah Klang tidak terlepas peluang bagi mendapat manfaat daripada acara-acara pemerkasaan startup melalui Program MYStartup.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.