Oleh Ritah Yahaya
9 Mac 2022, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya –  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengenai fasa “Peralihan ke Endemik” bermula 1 April 2022.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Fasa Peralihan  merupakan strategi keluar untuk membolehkan Keluarga Malaysia kembali semula kepada kehidupan dan aktiviti seperti biasa dalam kebiasaan baharu yang lebih selamat.

Komuniti perniagaan tentunya dapat menarik nafas lega dengan pengumuman ini berikutan pemansuhan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan. Pemilik premis dibolehkan menjalankan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis dan di masa yang sama memastikan pengudaraan yang baik dalam premis. Hal ini bermakna semua premis peruncitan, antaranya termasuklah pasar raya, pasar raya besar, pasar mini, kedai runcit, pasar basah, pasar tani, pasar malam, dan kedai makan boleh beroperasi sepenuhnya. Pembukaan sepenuhnya pastinya menjadi mangkin yang merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan, khususnya sektor perdagangan dan pengedaran.

YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KPDNHEP menyokong penuh Prosedur Operasi Standard yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang wajib dipatuhi kerana langkah ini masih diperlukan untuk membendung COVID-19, terutamanya varian Omicron yang mudah merebak. KPDNHEP akan memastikan bekalan pelitup muka dan Kit Ujian Kendiri COVID-19 (RTK) sentiasa stabil dan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan oleh Kerajaan.

Pada masa yang sama, langkah pencegahan dan pengesanan melalui pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera perlu terus diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak serta tiada perhimpunan orang ramai. MYSJTrace perlu terus diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu atau pengunjung.

KPDNHEP akan memastikan Prosedur Operasi Standard ini terus dipatuhi oleh pengguna ketika mengunjungi premis perniagaan, terutamanya  sektor peruncitan dan pengedaran di bawah seliaan KPDNHEP. Peratus pematuhan Prosedur Operasi Standard Pelan Pemulihan Negara bagi sektor perdagangan pengedaran adalah tinggi, iaitu hingga 99.9% berdasarkan pemeriksaan di 1.088 juta buah premis dari 13 Mei 2020 hingga 8 Mac 2022. Sebanyak 1063 kes direkodkan bagi pelbagai kesalahan ketidakpatuhan SOP dan jumlah kompaun yang dikeluarkan pula adalah sebanyak RM5.267 juta sepanjang tempoh yang sama.

KPDNHEP berharap rakyat, terutamanya komuniti perniagaan dan pengguna menyambut baik pengumuman ini dan menyokong 10 Prosedur Operasi Standard Peralihan ke Endemik agar negara segera kembali kepada kehidupan dan aktiviti seperti biasa sebelum pandemik COVID-19, tetapi dalam norma baharu yang lebih selamat dan berdaya maju.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.