8 Mac 2022, 08:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – HSBC Malaysia secara rasminya membuka ibu pejabat baharunya di bangunan Menara IQ di pusat kewangan antarabangsa Negara di Tun Razak Exchange (TRX). Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pembinaan ibu pejabat negara HSBC yang baharu di TRX dilihat bakal mengukuhkan lagi rancangan pertumbuhannya dan menunjukan bukti teguh komitmen jangka panjang bank tersebut terhadap perniagaan dan pelanggannya di Malaysia. Ibu pejabat baharu itu akan  mengantikan cawangan utama Bank HSBC di Leboh Ampang dengan menempatkan 5000 pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne menyatakan bahawa perpindahan ke bangunan baharu setinggi 33 tingkat itu melibatkan pelaburan sebanyak AS$250 juta (RM1.04 bilion). “Premis baharu ini akan membolehkan pekerjanya berada dalam model baharu pekerjaan masa depan yang menawarkan peralihan ke arah gaya kerja yang lebih hibrid dan fleksibel,” katanya ketika berucap di majlis perasmian ibu pejabat baharu HSBC di Menara IQ.

Stuart Milne menambah pembukaan ibu pejabat baharu itu mengukuhkan komitmen HSBC untuk menggunakan kepakaran, keupayaan, keluasan dan perspektif unik untuk membuka peluang baharu kepada pelanggan bank tersebut di Malaysia. Beliau turut menambah pemanfaatan  keterhubungan antarabangsa HSBC akan terus mengukuhkan rangkaian tawaran merentasi perbankan runcit dan korporat dengan tumpuan khusus pada kewangan mampan dan inovasi digital untuk terus memacu pertumbuhan perniagaan di negara ini.

TRX dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan untuk memudahcarakan transformasi ekonomi Malaysia. Pembangunan baharu itu bakal memanfaatkan kekuatan Malaysia yang sedia ada dan kedudukan strategiknya sebagai pelengkap kepada pusat ekonomi dan kewangan lain di rantau ini. Menara IQ direka bentuk sebagai sebuah bangunan komersial dengan bercirikan digital dan alam sekitar yang merangkumi elemen keseluruhan aspirasi TRX serta pembangunan komuniti di kawasan itu.

HSBC memiliki bangunan ini dan merupakan penyewa utama yang menduduki 22 tingkat. Tingkat yang selebihnya akan dipajak kepada syarikat yang menyokong ekosistem TRX seperti syarikat teknologi kewangan, kewangan dan perkhidmatan profesional.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!