7 Mac 2022, 12:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3)  dijangka menelan kos yang lebih tinggi berikutan lonjakan harga bahan pembinaan yang semakin meningkat. Kos pembinaannya dianggarkan sekitar RM40 hingga RM50 bilion sebelum disemak semula antara RM27 hingga RM32 bilion ketika projek itu dibatalkan pada tahun 2018.

MIDF Research menyatakan bahawa kos akhir bagi MRT3 mungkin lebih tinggi berbanding MRT2 kerana merangkumi bahagian bawah tanah yang lebih besar iaitu 40% berbanding 23.4% bagi MRT2. Hal ini  disebabkan oleh kerja-kerja terowong lebih berintensifkan buruh ditambah pula dengan kos jentera berat yang tinggi seperti mesin pengorek terowong. Bahagian bawah tanah  projek MRT2 menelan kos RM13.1 bilion manakala landasan bertingkat pula mencecah RM17.4 bilion.

MRT2 melibatkan jajaran sepanjang 57.7 km terdiri daripada 44.2 km laluan bertingkat dan 13.5 km laluan bawah tanah dengan 36 stesen. Projek MRT3 mungkin menelan kos sebanyak RM31.22 bilion, iaitu RM19.4 bilion bagi bahagian bawah tanah manakala RM11.82 bilion bagi landasan bertingkat. Kos ini berkemungkinan lebih tinggi bagi MRT3 berbanding kos yang dispekulasikan sebelum ini disebabkan kenaikan harga bahan pembinaan.

MRT Corp sebelum ini telah mencadangkan model pembiayaan hibrid untuk projek itu dan  dijangka memanfaatkan inisiatif pembiayaan swasta (PFI). Pada hari Jumaat, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kabinet bersetuju untuk melaksanakan projek MRT3, menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dan projek tebatan banjir. Keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan terutama golongan bumiputera bagi menjana peluang perniagaan dan mewujudkan 600 000 pekerjaan pada tahun ini.

Menurut MIDF Research, pengumuman tersebut tepat pada masanya kerana sektor pembinaan dilihat agak “sepi” sejak kebelakangan ini. Kontrak pertama MRT3 dijangka dikeluarkan paling awal pada tahun 2023 dengan mengambil kira pertimbangan proses tender dan model usaha sama awam-swasta (PPP) 3.0 yang dijangka diumumkan pada pertengahan tahun ini. Firma itu juga berpendapat bahawa kontrak berkenaan dijangka diberikan secara berpakej seperti yang pernah dilaksanakan ketika MRT2, apabila  dibahagikan antara segmen bawah tanah, stesen, jejambat dan lain-lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.