Oleh Ritah Yahaya
4 Mac 2022, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri telah mengadakan sesi pertemuan bersama lapan  orang pegawai Tourism Malaysia (TM) yang terdiri daripada Pengarah dan Timbalan Pengarah yang bakal bertukar ke beberapa buah Pejabat TM Luar Negeri pada 3 Mac 2022.

Kesemua lapan orang pegawai itu  akan ditempatkan di Pejabat TM di London, Jakarta, Istanbul, Sydney, New Delhi, Jeddah, Taipei, dan Auckland.

Dato’ Sri Hajah Nancy dalam pertemuan tersebut menekankan agar semua pegawai TM berkenaan melaksanakan tugas sebagai wakil pemasaran yang bertanggungjawab dan peka tentang segmen pemasaran di negara-negara tersebut.

Hal ini menurut beliau penting untuk mempromosikan sektor pelancongan menggunakan strategi pemasaran yang sesuai dengan setiap norma negara tersebut.

Seiring dgn perkembangan teknologi digital, pegawai harus berusaha mempelbagaikan strategi pemasaran agar dapat mencapai kelompok sasaran. Selain itu, mereka perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan negara penempatan (negara hos) dan bekerjasama erat dengan pemain industri tempatan. Mereka turut diseru agar mempelbagaikan promosi pakej pelancongan baharu serta memberikan tumpuan kepada pasaran baharu di negara penempatan tersebut.

Menurut Dato’ Sri Hajah Nancy lagi, Dasar Pelancongan Negara (DPN) dan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) harus dijadikan sebagai panduan dalam setiap perancangan yang boleh mengangkat nama Malaysia di mata dunia.

“Kita mesti menarik minat seluruh spektrum pelancong seperti peminat budaya, pencinta alam sekitar dan pelancong perubatan. Hal ini bagi mencapai sasaran pemasaran yang unik, strategik dan seiring dengan matlamat DPN dan DAKEN,” jelas Dato’ Sri Hajah Nancy.

Tambah beliau, “Seperti negara luar yang lain, Malaysia  akan membuka sempadannya apabila tiba masanya nanti. Oleh  itu, adalah penting bagi semua pegawai TM Luar Negara untuk turut menggunakan pendekatan berorientasikan digital agar sasaran Malaysia untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelancong dari luar negara tercapai sekali gus dapat mempercepat fasa pemulihan industri pelancongan  pada tahun ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.