4 Mac 2022, 18:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd. menyumbangkan RM5000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis khusus untuk menjayakan Projek Diraja Kampung Warna-warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis. Projek itu merupakan hasil inisiatif yayasan itu bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sebanyak RM2000 lagi disumbangkan kepada pihak MAIPs sempena program “Kayuhan Amal Starbucks di Perlis” yang diadakan bersama dengan aktiviti “MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf” yang diketuai oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sekitar Kuala Perlis, Padang Besar Selatan dan Kurong Tegar.

Pengarah Urusan Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Sydney Lawrance Quays mempersembahkan cek contoh (mock cheque) kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis dan juga Yang DiPertua MAIPs. Majlis itu diadakan bersempena dengan Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan Starbucks Pandu Lalu, Kangar Jaya yang merupakan cawangannya yang pertama di Perlis.

Dalam ucapan beliau, Dato’ Sydney Lawrance Quays berasa teruja berpeluang menyertai aktiviti kebajikan dan melihat sendiri cara DYTM Tuanku Raja Muda diiringi oleh ketua-ketua jabatan menyantuni dan berinteraksi dengan golongan yang memerlukan di negeri ini. Pihak Starbucks Malaysia komited untuk berkerjasama dengan baginda lagi dalam inisiatif amal lain pada masa hadapan.

Pada petang yang sama, DYTM Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan perasmian projek peningkatan sosioekonomi asnaf MAIPs berupa perniagaan karipap mini yang diusahakan oleh Sabri Ibrahim dan isteri di No 29 Kg. Tok Kaya Kuala Perlis yang telah menerima sumbangan peralatan untuk bengkel makanan bernilai RM2350 daripada MAIPs menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

Baginda turut singgah untuk menyampaikan agihan zakat MAIPs dan sumbangan prihatin daripada pihak Starbucks kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih di rumah masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.