4 Mac 2022, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jualan Proton Holdings Bhd (Proton) melonjak 107% pada bulan Februari tahun 2022 selepas mengalami tempoh mencabar pada Januari berikutan barisan pengeluarannya terjejas teruk akibat isu banjir yang belum selesai. Pihaknya menjual sebanyak 9225 unit di peringkat domestik dan eksport bulan lepas sekali gus berada semula di kedudukan kedua dari segi jualan automotif dan meletakkan kembali Proton di landasan  pemulihan daripada kemerosotan jualan pada Januari.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata keupayaan syarikat  mengeluarkan lebih banyak kereta merupakan punca utama pemulihan jualan pada Februari. Beliau berkata ia hanya dapat dicapai melalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor dan kakitangan untuk mengembalikan Proton ke landasan yang betul.

“Syukurlah, prestasi buku tempahan kami kekal baik dan yakin boleh mencapai sasaran kami untuk tahun ini,” katanya.

Menurut Proton, susulan penyambungan penuh pengeluaran di Shah Alam, Selangor dan Tanjung Malim, Perak jumlah jualan secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan ketara. Bagaimanapun, pengeluaran dan aktiviti jualan biasa bagi model seperti Saga hanya dapat dijalankan selama setengah bulan dan ini menjejaskan potensi penuhnya, jelas syarikat itu.

Proton menjelaskan bahawa Saga mencapai 2951 unit pada Februari, walaupun angka itu kurang daripada purata bulanan biasa, namun jualannnya dijangka kembali kepada tahap sebelumnya dalam beberapa bulan akan datang.

Model lain mencapai jualan yang lebih baik berbanding dengan sasaran jualan dengan X50 and X70 mengakhiri Februari dengan jualan masing-masing sebanyak 3002 dan 1119 unit. Situasi ini membolehkan kedua-duanya mengekalkan kedudukan di tempat pertama dalam segmen masing-masing.

Jualan eksport semakin meningkat apabila merekodkan lonjakan 72.8% pada tahun 2022 dengan 323 unit pelbagai kereta Proton telah dijual dalam dua bulan pertama tahun ini, berbanding hanya 187 unit dijual pada tahun lepas.

Roslan berkata Proton mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan selepas jualan bagi pelanggannya.

Beliau berkata langkah pertama ialah menangani ketersediaan alat ganti dan melaksanakan peraturan mandatori iaitu memastikan semua pengedar dikehendaki memegang stok tiga bulan bagi 22 alat ganti yang mencatatkan permintaan tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.