4 Mac 2022, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penanda aras minyak mentah melonjak awal hari ini berikutan masalah bekalan, potensi gangguan perdagangan dan isu perkapalan akibat daripada sekatan baharu yang dikenakan ke atas Rusia selepas negara itu menyerang Ukraine lebih seminggu lalu.

Setakat jam 2.07 petang, niaga hadapan minyak mentah Brent telah melonjak sebanyak 3.62% kepada AS$117 setong, manakala West Texas Intermediate meningkat 3.44% kepada AS$114.40 setong.

Terdahulu, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat setinggi AS$118.22 setong, tertinggi sejak Februari 2013. Pasaran bertindak balas terhadap pusingan terbaharu sekatan Amerika Syarikat ke atas sektor penapisan Rusia yang membawa kepada kebimbangan bahawa sekatan eksport boleh beralih kepada sektor minyak dan gas Rusia.

Susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, harga minyak mentah Brent telah melambung melebihi AS$100 setong berikutan kebimbangan gangguan bekalan. Rusia menyumbang kira-kira 10% daripada bekalan minyak global.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa seperti yang dilaporkan oleh CNBC, Rusia ialah pengeluar minyak ketiga dunia dan pengeksport minyak terbesar ke pasaran global.

Semalam, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya termasuk Rusia, mengambil keputusan mengekalkan pertambahan dalam pengeluaran sebanyak 400 000 tong sehari pada bulan Mac.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.