Oleh Ritah Yahaya
1 Mac 2022, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya  – Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 11 Disember 2020 bersetuju menetapkan (mengisytiharkan) bahawa bulan Mac setiap tahun sebagai Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK). Oleh sebab pandemik COVID-19 yang sedang memuncak, sambutan pada tahun 2021 ditangguhkan.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan sambutan BPK buat julung-julung kalinya pada peringkat nasional di seluruh negara pada bulan Mac 2022.

Objektif BPK antara lain adalah untuk memperkasakan pengguna agar menjadi lebih cakna dan berdaya upaya dalam pelbagai aspek terutamanya aspek perlindungan pengguna.

Sambutan BPK ini bersesuaian dengan sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia (HHPS) yang disambut pada 15 Mac setiap tahun. Tema pada tahun ini ialah Fair Digital Finance yang bermaksud kesaksamaan dalam kewangan digital.  Tema ini menumpukan kesaksamaan dan perlindungan dalam aktiviti kewangan secara atas talian.

KPDNHEP mengadaptasikan tema berkenaan selaras dengan keadaan dan kesesuaian masyarakat pengguna di negara ini, iaitu Digitalisasi Pengguna yang memfokuskan penggunaan transaksi secara dalam talian yang lebih mudah, cepat dan selamat bagi urusan harian.

Pemilihan tema ini bertepatan dengan senario pandemik COVID-19 yang memerlukan sebahagian besar transaksi bayaran, jual beli dan sebagainya dilakukan tanpa sentuhan dan transaksi secara dalam talian yang merupakan platform yang  selamat dan efisien.

KPDNHEP berharap pengguna mengikut arus teknologi digital dan seterusnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kepenggunaan digital lebih-lebih lagi dari sudut keselamatan dan perlindungan daripada ancaman scam, penipuan, penggodam, dan sebagainya.

Bagi merancakkan pengisian Bulan Pengguna Kebangsaan 2022, pelbagai aktiviti dan program dirancang selaras dengan perkembangan hal ehwal kepenggunaan semasa dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih berkuatkuasa. Antara aktiviti dan program yang akan dilaksanakan pada peringkat negeri dan daerah, termasuklah aktiviti komuniti, wacana ilmiah, kembara rakan KPDNHEP, jualan, karnival kepenggunaan, promosi dan pertandingan kepenggunaan.

BPK akan disambut selama sebulan bermula 1 Mac dan berakhir pada 31 Mac 2022. Kemuncak sambutan akan diadakan pada 26 Mac 2022.

Sekiranya pengguna menghadapi sebarang masalah atau menjadi mangsa penipuan, segeralah bertindak dengan melaporkan perkara berkenaan kepada KPDNHEP atau agensi-agensi berkenaan dan pastikan hak anda sebagai pengguna sentiasa dilindungi.

Pengguna bijak, perkasa hak, berani bertindak!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.