Oleh Ritah Yahaya
28 Februari 2022, 14:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sentiasa berusaha untuk meringankan beban yang dihadapi oleh penggiat industri pelancongan negara susulan impak pandemik COVID-19.

MOTAC menyasarkan tahun 2022 merupakan masa untuk industri bangkit semula daripada kegawatan perniagaan yang dialami sejak dua tahun lepas. Berikutan hal tersebut, menerusi Ucapan Belanjawan 2022, kerajaan  mengumumkan  pemberian Bantuan Khas kepada lebih 20 ribu pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC dengan peruntukan sebanyak RM85 juta ringgit.

Pada tahun 2021, kerajaan melalui MOTAC telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM61 juta yang dapat memanfaatkan sebanyak 29 286 orang penggiat industri pelancongan. Bantuan Kewangan Tahun 2022 ini adalah usaha berterusan kerajaan bagi membantu sektor pelancongan yang merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

Inisiatif ini diharap dapat membantu industri pelancongan negara untuk terus berdaya saing seterusnya dapat membantu memulihkan semula sektor pelancongan negara. MOTAC juga telah menambah baik kriteria pemohon agar lebih banyak pengusaha pelancongan dapat mendapat manfaat daripada bantuan ini.

Bayaran sebanyak RM9000.00 akan diberi kepada Syarikat Pengendalian Pelancongan (TOBTAB) dan Syarikat Malaysia Mysecond Home (MM2H). Manakala, Spa dan Pusat Urutan Kaki (PUK) akan menerima sebanyak RM3000.00. Bagi Pemandu Pelancong, mereka akan menerima sebanyak RM1500.00 dan pengusaha inap desa (homestay) sebanyak RM1800.00. Bayaran ini akan dibuat sebanyak dua kali mulai bulan Mac dan Mei, 2022.

Sehubungan dengan itu, MOTAC menyeru semua pemandu pelancong, Syarikat TOBTAB, MM2H, pengusaha spa,  PUK serta pengusaha inap desa yang layak mengambil peluang ini untuk mengemukakan permohonan kepada pihak MOTAC melalui permohonan atas talian. Maklumat lanjut mengenai Bantuan Kewangan Tahun 2022 ini termasuklah pautan permohonan, boleh dilayari di laman sesawang rasmi MOTAC (www.motac.gov.my).

Tarikh permohonan Syarikat TOBTAB, MM2H dan Pengusaha Spa dan PUK ditetapkan dari 1 Mac hingga 15 Mac 2022. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Pejabat MOTAC Negeri yang berdekatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.