Oleh Ritah Yahaya
25 Februari 2022, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 2/2022. Penerbitan ini bermatlamat untuk menghebahkan kepada orang awam mengenai senario ekonomi terkini berdasarkan statistik makroekonomi rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Laporan ini memfokuskan kepada statistik terkini bagi Disember 2021 dan beberapa statistik akan datang bulan Januari 2022 serta sorotan mengenai senario ekonomi Malaysia pada suku keempat 2021 dan prestasi tahunan bagi 2021. Selain itu, edisi ini juga dimuatkan dengan artikel khas bertajuk “Penggunaan Elektrik di Era COVID-19” yang membincangkan trend dan perubahan dalam penggunaan elektrik sebelum dan semasa pandemik COVID-19.

Mengulas mengenai situasi sosioekonomi pada tahun 2021 di sebalik usaha menangani penularan COVID-19, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, “Setelah pelbagai langkah kawalan penularan sepanjang tempoh separuh tahun pertama 2021, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan sejak Julai dijadikan sebagai strategi bagi Malaysia dalam membuka semula aktiviti ekonomi dan sosial secara sistematik dan progresif. Oleh itu, pemulihan berterusan dilihat selaras dengan peralihan lebih banyak negeri kepada fasa PPN yang berikutnya dengan pelonggaran prosedur operasi standard serta kebenaran pengoperasian semula lebih banyak perniagaan. Hingga bulan Disember 2021, hanya dua buah negeri kekal berada dalam fasa ketiga PPN manakala negeri-negeri lain telah beralih ke fasa keempat.

Selari dengan perkembangan positif ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah kembali meningkat kepada 3.6 peratus pada suku keempat tahun 2021 selepas menyusut 4.5% pada suku sebelumnya, memberi isyarat momentum yang lebih baik dalam pemulihan ekonomi negara. Hampir kesemua sektor penawaran menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan semua komponen permintaan akhir kecuali bagi dua Embargo: Hanya akan diterbitkan atau disebarkan pada jam 1200, Jumaat, 25 Februari 2022 Pembentukan modal tetap kasar telah melepasi paras pra-pandemik tahun 2019. Lanjutan itu, ekonomi Malaysia berkembang 3.1% pada tahun 2021 selepas merosot 5.6% pada tahun 2020.

Prestasi tahunan itu disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor Pembuatan yang mana telah melepasi paras pra-pandemik.” Dari sudut sektor luaran, beliau berkata, “Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia terus mencatatkan lebihan RM15.2 bilion berbanding RM11.6 bilion pada suku tahun sebelumnya didorong oleh eksport bersih barangan yang tinggi dan defisit yang lebih rendah dalam pendapatan sekunder. Akaun barangan mencatatkan peningkatan paling tinggi sehingga kini dalam eksport bersih pada RM51.8 bilion, melepasi paras tertinggi sebanyak RM50.9 bilion pada suku tahun ketiga tahun 2008.

Pelaburan bertambah baik dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia mengekalkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM24.7 bilion manakala Pelaburan Langsung Asing di Luar Negeri (DIA) oleh pelabur Malaysia berubah arah aliran untuk mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM15.0 bilion berbanding dengan aliran masuk bersih RM4.7 bilion pada suku ketiga tahun 2021.

Prestasi tersebut menunjukkan momentum positif dalam pemulihan ekonomi negara disokong oleh pembukaan semula lebih banyak aktiviti sosial dan ekonomi serta pemberian dos penggalak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan selaras dengan pelaksanaan PPN. Perdagangan barangan juga mengekalkan trajektori positif pada suku keempat tahun 2021 dengan jumlah perdagangan meningkat 29.2% kepada RM624.7 bilion berbanding dengan RM483.4 bilion pada suku yang sama tahun 2020. Pada masa yang sama, kedua-dua eksport dan import melonjak pada suku ini, dengan eksport meningkat sebanyak 29.0% kepada RM350.5 bilion manakala import berkembang 29.6% kepada RM274.3 bilion.

Imbangan dagangan mencatatkan lebihan RM76.2 bilion, meningkat 26.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.” Melihat kepada prestasi sektoral, Indeks Pengeluaran Perindustrian memulih kepada 6.9% tahun ke tahun pada suku keempat 2021 berbanding dengan negatif 1.1% yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya. Pertumbuhan tersebut disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks Pembuatan (9.2%) dan Elektrik (4.3%).

Selari dengan hal itu, nilai jualan pembuatan juga meningkat 16.5% dalam tempoh yang sama kepada RM427.0 bilion. Sektor perkhidmatan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada suku keempat tahun 2021 dengan hasil meningkat sebanyak 5.3% kepada RM460.0 bilion didorong oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan yang meningkat sebanyak 5.1%. Tambahan pula, Indeks Volum Perkhidmatan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 3.0% selepas kejatuhan ketara 7.5% pada suku tahun sebelumnya. Dari segi harga, Indeks Harga Pengguna merekodkan kenaikan sebanyak 3.2% pada suku keempat tahun 2021, manakala Indeks Harga Pengeluar pengeluaran tempatan kekal dalam aliran menaik dengan mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 11.9%.

Mengulas mengenai senario buruh, Ketua Perangkawan berkata, “Pasaran buruh kembali dengan momentum ke arah pemulihan pada suku keempat tahun 2021 dengan tiga Embargo: Hanya akan diterbitkan atau disebarkan pada jam 1200, Jumaat, 25 Februari 2022 bilangan penduduk bekerja meningkat  sebanyak 1.8% tahun ke tahun kepada 15.44 juta orang, manakala kadar pengangguran menurun 0.5% mata untuk merekodkan kadar suku tahunan terendah pada 4.3% sejak bermulanya pandemik. Dari perspektif permintaan buruh, jumlah jawatan dalam sektor ekonomi mencatatkan peningkatan buat kali pertama selepas merosot selama enam suku tahun berturut-turut, dengan merekodkan sebanyak 8.531 juta jawatan pada suku keempat tahun 2021.”

Mengakhiri kenyataan beliau, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, “Pemulihan ekonomi negara didorong oleh pengembangan permintaan global, pemulihan dalam pasaran buruh, perkembangan program vaksinasi COVID-19 dan disokong oleh dasar yang berterusan. Seiring dengan itu, Malaysia kini sedang bersiap sedia bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa sepenuhnya pada bulan Mac 2022 yang akan memulihkan kembali aktiviti berkaitan dengan pelancongan. Selain itu, Indeks Pelopor (IP) meningkat kepada 2.1% pada bulan Disember 2021 daripada 1.6% pada November 2021, manakala paras indeks terus melepasi 100.0 mata dengan merekodkan 111.5 mata. Hal ini, secara keseluruhannya memberikan isyarat bahawa prospek ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang. Oleh itu, tumpuan kerajaan akan terarah kepada dua teras utama dalam menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, iaitu mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu usahawan untuk terus berkembang. Mengambil kira semua faktor ini, Malaysia optimis bahawa ekonomi akan kekal dalam landasan pemulihan pada tahun 2022.”

Jabatan Perangkaan Malaysia sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.