Oleh Ritah Yahaya
23 Februari 2022, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum akan keperluan Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Ujian Kendiri) (RTK) oleh Keluarga Malaysia sebagai satu langkah awal pencegahan penularan pandemik COVID-19.

KPDNHEP juga mengambil maklum peningkatan kes COVID19 yang dilaporkan dalam media arus perdana akhir-akhir ini yang menyumbang kepada meningkatnya permintaan RTK di pasaran.

Bagi menjamin keberadaan dan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mewartakan RTK sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November 2021 yang lalu dan dikuatkuasakan pada 1 Disember 2021.

Selain itu, KPDNHEP juga sentiasa melakukan penguatkuasaan ke atas keberadaan bekalan kit ujian ini dengan melakukan pemantauan dan pemeriksaan berkala setiap hari, terutamanya pada peringkat pengimport, pengilang, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan kit ujian ini sentiasa stabil dalam pasaran dan mudah diperoleh oleh pengguna.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan dan pemantauan yang dilakukan, kini terdapat kira-kira 18 juta unit RTK tersedia di pasaran. Sebanyak 8084 premis runcit diberi kebenaran menjual RTK yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia atau Medical Device Authority (MDA).

Kini, terdapat lapan pengilang Establismen yang mendapat kebenaran bersyarat menghasilkan RTK di Malaysia yang mengeluarkan sejumlah 4.306 juta unit RTK hingga Februari 2022. Manakala, Malaysia mengimport sebanyak 2.34 juta unit RTK daripada tujuh buah negara. Jumlah keberadaan RTK tambahan di pasaran hingga hujung  bulan Februari adalah sebanyak 6.647 juta unit.

Berdasarkan statistik, aduan berhubung kekurangan bekalan RTK menunjukkan peratus yang sangat rendah. Sejak 1 Januari hingga 21 Februari 2022, terdapat tiga aduan sahaja yang diterima oleh KPDNHEP berhubung dengan kekurangan bekalan kit ujian ini.

Julat harga RTK di pasaran adalah antara RM4.90 hingga RM19.90 ketika ini. Kini, sebanyak 80% RTK dijual di bawah RM10.00 seunit.

KPDNHEP memberikan amaran kepada peniaga agar terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan dengan penjualan RTK ini bagi mengelakkan tindakan tegas oleh KPDNHEP. Peniaga yang dikesan melakukan kesalahan berhubung dengan perkara ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan seperti yang berikut:

  1. Individu boleh didenda oleh mahkamah hingga RM1 000 000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
  2.  Syarikat boleh didenda hingga RM2 000 000.00.

KPDNHEP juga ingin menasihati pengguna agar tidak panik dengan situasi yang berlaku ini dengan membuat pembelian panik atau berlebihan daripada keperluan dan sentiasa berwaspada dengan kehadiran RTK yang tidak mendapat kelulusan MDA.

KPDNHEP juga ingin menasihati orang ramai supaya meningkatkan penjagaan kesihatan dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard Kesihatan serta melakukan pemantauan awal terhadap diri dan keluarga bagi mengelakkan daripada dijangkiti oleh pandemik COVID-19.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung dengan bekalan dan harga RTK boleh mengemukakan aduan lengkap berserta butiran lengkap melalui saluran yang berikut:

  1. WhatsApp :  019-279 4317
  2. Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my
  3. Call Centre   :   1-800-886-800
  4. E-mel :   [email protected]
  5. Aplikasi Ez ADU KPDNHEP
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.