Oleh Ritah Yahaya
22 Februari 2022, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) menjadi agenda penting dalam pelaksanaan transformasi syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Syarikat perlu bersedia untuk melaksanakan Industri 4.0 untuk kekal kompetitif dan berdaya saing.

Selaras dengan peranan MPC sebagai Sekretariat Induk Penilaian Kesediaan Industry 4WRD, program ini diperkenalkan untuk menilai tahap kesediaan syarikat, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana dalam mengadaptasikan elemen Industri 4.0 dalam pengeluaran syarikat mereka.

Dasar Nasional Industri 4.0 – Industry4WRD yang memberikan fokus utama kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitannya di Malaysia. Menurut Ketua Pengarah MPC, Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman, “Sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitannya yang kukuh akan memberikan peluang kepada peningkatan produktiviti, mewujudkan peluang pekerjaan, melahirkan kumpulan kerja berkemahiran tinggi dan akhirnya kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan masyarakat dapat dicapai. Pada masa yang sama, Malaysia juga diharap akan mampu mencapai kedudukan sebagai destinasi utama pembuatan pintar pada peringkat global dan menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi.”

Tambah beliau, “Program Industry 4WRD juga memberikan penekanan kepada strategi untuk memiliki kumpulan tenaga kerja yang tepat dengan fokus pada sistem pengurusan dalam menjalankan operasi perniagaan, rantaian bekalan dan kitaran hayat produk. Penekanan diberi kepada perkongsian strategik antara sektor awam dengan swasta untuk mengukuhkan operasi dan mampan dalam penghasilan produk agar lebih efisien.”

Bagi memastikan industri di Malaysia, terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan menjadi agenda penting negara, 13 siri program Outreach–The Road Ahead with Industry4WRD 2022 dirangka dengan kerjasama MITI, MIDA, SIRIM Berhad, Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), dan SME Association of Malaysia di seluruh Malaysia.

Siri outreach pertama akan bermula pada 24 Februari 2022 di Perak. Siri outreach ini akan menyasarkan lima sektor utama, iaitu elektrik dan elektronik, jentera dan kelengkapan, peranti perubatan dan kimia, peranti perubatan, dan aeroangkasa. Walau bagaimanapun, sektor lain masih boleh menyertainya.

Siri Outreach Program–The Road Ahead with Industry4WRD 2022 ini bertujuan memastikan kelancaran pelaksanaan Industry4WRD Readiness Assessment (RA) di bawah Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) Negara dan memberikan kesedaran kepada syarikat berkaitan dengan program RA dalam membantu PKS yang terlibat untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi & pengeluaran mereka berasaskan elemen industri 4.0.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut cara menyertai program  atau siri Outreach Program – The Road Ahead with Industry 4WRD 2022, orang ramai boleh mendaftar di laman sesawang MITI www.miti.gov.my di bawah seksyen Transformasi Industri – Industry4WRD.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.