Oleh Ritah Yahaya
22 Februari 2022, 08:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – “Nexus Produktiviti Logistik (LPN) mampu meningkatkan daya saing industri logistik bagi merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab logistik serantau.

Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman, peningkatan infrastruktur logistik dan pemasaran yang lebih agresif oleh negara-negara jiran telah memberikan cabaran kepada peserta industri logistik di negara ini.

“Bagi melonjakkan produktiviti sektor logistik negara, LPN akan melaksanakan inisiatif berimpak tinggi untuk membantu peniaga logistik meningkatkan daya saing melalui empat fokus utama iaitu bakat, teknologi, struktur industri dan peraturan”.

“Penubuhan Produktiviti Nexus Logistik ini yang diterajui oleh industri mampu memacu sektor ini agar lebih produktif dan berdaya saing,” kata Dato’ Abdul Latif semasa sesi perbincangan strategik bagi penubuhan Nexus Produktiviti Logistik (LPN) bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Isham Ishak di Putrajaya baru-baru ini.

Dato’ Abdul Latif turut berkata, LPN yang ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ke12 (RMKe-12) akan membantu menarik penyertaan swasta dalam meningkatkan produktiviti sektor logistik seperti yang telah dilaksanakan oleh sembilan Nexus Produktiviti yang ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“RMK-12 turut menyatakan bahawa kos perkhidmatan logistik di Malaysia lebih tinggi berbanding dengan pesaing serantau. Selain itu, industri ini juga berhadapan dengan kekurangan bakat yang berkemahiran dan berpengalaman serta mempunyai ciri-ciri keusahawanan,” tambah beliau.

Menurut Dato’ Abdul Latif, seperti juga isu yang menjadi tumpuan penyelesaian sembilan Nexus sebelum ini, tahap penerima gunaan teknologi dalam industri ini juga masih rendah, Nexus akan bekerjasama dengan pemain industri untuk mengenal pasti strategi terbaik untuk meningkatkan penerima gunaan teknologi yang merupakan antara faktor penting peningkatan produktiviti.

“Selaras dengan peranan besar industri ini sebagai tulang belakang kepada industri lain dan rantaian global, peningkatan produktiviti dalam subsektor ini akan memberikan kesan limpahan yang positif kepada sektor yang lain, tambah beliau.

Menyokong penubuhan dan lantikan peneraju ini, pihak MOT juga menggalakkan agar pihak industri memanfaatkan portal MyLogistik yang telah dibangunkan oleh pihak MOT dan Pusat Geospatial Negara.

MyLogistik merupakan aplikasi yang dapat membantu pemain industri logistik dalam merancang pergerakan barangan yang paling efisien dengan mengambil kira infrastruktur dan ketersambungan yang ada bagi penjimatan kos. Subsektor logistik menyumbang 3.1% kepada KDNK dan Guna tenaga 3.6% tahap produktiviti berbanding dengan nasional.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.