Oleh Ritah Yahaya
22 Februari 2022, 11:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Sebanyak 25 000 orang usahawan TEKUN Nasional disasarkan mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi Kempen Mencarum PERKESO Usahawan TEKUN yang dilancarkan pada hari ini.

Kempen hasil kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi agensinya, TEKUN Nasional ini bermatlamat meningkatkan kesedaran golongan usahawan mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial, di samping menggalakkan mereka mencarum dengan PERKESO.

Kempen ini juga merupakan satu inisiatif proaktif untuk memastikan jaringan perlindungan keselamatan sosial semakin diperluaskan kepada golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS), khususnya dalam kalangan usahawan di Malaysia. Bagi memastikan golongan ini dilindungi dan menggalakkan mereka mendaftar dengan

PERKESO, TEKUN Nasional akan menawarkan perkhidmatan pembiayaan caruman SKSPS menerusi skim pembiayaan yang dibuat oleh usahawan TEKUN. Majlis pelancaran Kempen Mencarum PERKESO Usahawan TEKUN ini disempurnakan oleh Yan Berhormat (YB) Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan disaksikan oleh YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia.

YB Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) ketika ditemui berkata, “Hingga kini sebanyak 16 830 orang usahawan TEKUN mencarum di bawah SKSPS. Oleh itu, kempen ini mendokong matlamat untuk menarik lebih banyak usahawan TEKUN untuk mencarum SKSPS. Saya juga berharap TEKUN Nasional dapat memikir dan mempertimbangkan kaedah semua usahawan TEKUN dapat diwajibkan untuk mencarum dengan PERKESO sepanjang tempoh pembiayaan, pada masa akan datang.”

YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia pula berkata, “KSM menyambut baik dan menghargai sokongan yang dizahirkan oleh MEDAC menerusi TEKUN Nasional untuk mendaftar dan mencarumkan para usahawan mereka sepertipengusaha, penjaja dan peniaga kecil dengan SKSPS PERKESO. Saya juga yakin bahawa usaha untuk memberikan perlindungan sosial kepada mereka ini bukan sahaja akan disambut baik oleh para usahawan TEKUN, malah turut akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka dan insan yang mereka sayangi sentiasa terjaga dan terpelihara.”

Pada majlis yang sama, turut dianjurkan sesi taklimat khas mengenai SKSPS PERKESO kepada usahawan TEKUN, sesi penyerahan nota perlindungan PERKESO, penyampaian watikah pelantikan kepada TEKUN sebagai ejen dan pemberian tuntutan faedah PERKESO kepada pencarum OBS.

Berdasarkan statistik PERKESO, hingga 18 Februari 2022, sebanyak 360 469 atau kira-kira 15% OBS di seluruh negara  mencarum dengan SKSPS, daripada jumlah keseluruhan OBS di seluruh Malaysia, iaitu kira-kira 2.38 juta.

Sementara itu, lebih daripada RM6 juta telah dibayar oleh PERKESO kepada sebanyak 2142 orang penerima faedah dalam kalangan OBS. Jumlah tersebut, termasuklah sebanyak 169 penerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang diterima oleh waris OBS bagi kes yang melibatkan kematian semasa menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.

Sejak 1 Jun 2017, PERKESO menyediakan SKSPS untuk memberikan perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri daripada bencana pekerjaan,termasuklah penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan. Antara manfaat perlindungan keselamatan sosial yang disediakan dalam SKSPS, termasuklah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pinjaman Pendidikan, dan Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.