Oleh Ritah Yahaya
22 Februari 2022, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sambutan pengguna dan peniaga terhadap Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) amat menggalakkan di seluruh Malaysia sejak program ini dilancarkan secara rasmi oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 2 Disember 2021.

Maklum balas pengguna yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan kian meningkat.

Hingga 14 Februari 2022, sebanyak 1 181 376 orang pengunjung membanjiri PJKM di 775 buah lokasi seluruh negara dengan nilai jualan yang dicatatkan berjumlah lebih daripada RM22.85 juta.

Sehubungan dengan itu dan atas permintaan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri yang mahu rakyat pelbagai strata ekonomi di seluruh pelosok negara turut mendapat manfaat. PJKM kini diperluas meliputi kawasan-kawasan Parlimen luar bandar yang menawarkan barang-barang keperluan dengan harga hingga 20% lebih murah daripada harga pasaran setempat.

PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah, antaranya termasuklah ayam, ikan, telur, sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras, dan barangan keperluan rumah terpilih.

Penyertaan daripada pembekal, pemborong dan peruncit juga amat menggalakkan dalam membantu usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup. PJKM dijalankan setiap minggu serentak di seluruh negara di kawasan Parlimen terpilih di lokasi berdekatan dengan golongan sasar, iaitu B40 dan M40. Kebiasaannya, PJKM diadakan selama dua hari pada hujung minggu mengikut negeri seawal jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang bergantung pada stok barang yang ada.

Di samping sambutan pengguna, faktor kejayaan PJKM ialah kerjasama erat antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan agensi-agensi kerajaan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seperti FAMA Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta rakan-rakan strategik sektor peruncitan.

Hingga kini, sebanyak 113 rakan strategik mengambil bahagian melaksanakan program PJKM di seluruh negara. KPDNHEP mengingatkan semua peniaga agar sentiasa beretika serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. KPDNHEP juga berharap pengguna tidak melakukan pembelian panik yang akan mengganggu kestabilan bekalan dan harga barang. PJKM

ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua untuk berjimat mengurangkan belanja dapur seharian. Lebih daripada 2200 orang Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP akan terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan aduan:

  1. WhatsApp :  019-279 4317
  2. Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my
  3. Call Centre   :   1-800-886-800
  4. E-mel :   [email protected]
  5. Aplikasi Ez ADU KPDNHEP

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.