Oleh Ritah Yahaya
21 Februari 2022, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (“SemarakNiaga”) bernilai RM40 bilion yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan sebahagian daripada strategi induk Belanjawan 2022 untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Semarak Niaga bertujuan membina keupayaan dan daya saing sektor perniagaan melalui, antara lainnya, akses kepada pembiayaan dan pinjaman mudah; pembiayaan ekuiti serta jaminan pembiayaan.

Setiap jenis perniagaan, daripada PMKS kepada syarikat tersenarai awam digalakkan untuk merebut pelbagai peluang dan manfaat yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan melalui Semarak Niaga; dan maklumat lanjut boleh didapati di portal Manfaat Bajet 2022

http://budget.mof.gov.my/manfaat/semarakniaga.html

Dengan nilai keseluruhan lebih RM40 bilion, Semarak Niaga menawarkan empat kemudahan utama seperti berikut:

  1. Peruntukan terbesar bagi PKS Mikro berbanding tahun-tahun lalu, iaitu sebanyak RM1.8 bilion bagi Pinjaman Kredit Mikro,dengan moratorium hingga 12 bulan. Kemudahan ini boleh dipohon melalui TEKUN, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, Agrobank dan bank-bank komersial.
  2. Kemudahan dan solusi inovatif yang diperkenalkan buat julung kalinya di dalam Belanjawan 2022, iaitu Pembiayaan Ekuiti/Alternatif bernilai RM2.2 bilionbertujuan membantu syarikat yang berdaya maju, tetapi mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu kerana masalah keberhutangan atau gearing yang tinggi. PMKS boleh memohon dana melalui pelaburan ekuiti dan separa-ekuiti (quasi-equity) melalui Teraju, SME Bank, Bank Simpanan Nasional, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan bank-bank komersial tempatan. Selain itu, RM80 juta juga diperuntukkan bagi kaedah equity crowd funding dan peertopeer financing secara geran padanan melalui Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF).
  3. Pinjaman Mudah PKS dengan dana keseluruhan bernilai RM14.2 bilion disediakan,merangkumi pelbagai skim yang boleh dipohon melalui bank-bank komersial tempatan, Agrobank, BPMB, Permodalan Usahawan Nasional Berhad, SME Bank, dan MIDF.
  4. Jaminan Pembiayaan bernilai RM22.0 bilion, termasuklah RM2.0 bilion, khusus untuk syarikat Bumiputera. Kemudahan ini termasuk jaminan sehingga 80% jumlah pembiayaan sedia ada yang dijadual dan distruktur semula untuk tempoh 36 bulan, bagi nilai pembiayaan sehingga RM20 juta. Bagi pembiayaan baharu pula, jaminan yang disediakan juga sehingga 80%. Permohonan boleh dibuat kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad.

Selain itu, sektor perniagan juga boleh memanfaatkan pelbagai inisiatif lain di dalam Bajet 2022 bagi memudahkan urusan perniagaan, terutamanya dalam peralihan kepada dunia pasca COVID-19. Hal ini termasuklah lanjutan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian dan pembaharuan premis hingga

RM300 000.00 bagi menyokong pematuhan Prosedur Operasi Standard seperti menambahbaik pengudaraan serta potongan cukai tambahan hingga RM50 000.00 terhadap perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja.

Dari segi pemulihan sektor-sektor yang amat terkesan, Belanjawan 2022 juga menyediakan bantuan bernilai RM1.6 bilion untuk industri pelancongan, RM238 juta bagi industri kreatif dan RM307 juta untuk industri peruncitan.

Kesemua inisiatif ini bakal membangkitkan semula sektor perniagaan dan komuniti usahawan, yang secara langsung akan menyumbang kepada penciptaan 600 000 peluang pekerjaan. Ini akan mengurangkan kadar pengangguran dengan unjuran di paras kurang dari 4.0% menjelang hujung tahun ini.

Inisiatif Semarak Niaga dan penciptaan pekerjaan merupakan dua tonggak utama Bajet 2022 ke arah pemulihan ekonomi, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di antara 5.5% hingga 6.5% pada tahun 2022.

Kementerian Kewangan (MOF) sentiasa peka dan responsif bagi memastikan negara berada di landasan pemulihan ekonomi yang kukuh. MOF juga kekal fokus kepada kebertanggungjawaban fiskal dan pelaksanaan reformasi struktur yang strategik bagi memastikan ekonomi kekal berdaya tahan dalam jangka sederhana dan panjang, iaitu sebanyak RM50 000.00  ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.