Oleh Ritah Yahaya
21 Februari 2022, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan Standard Chartered Saadiq Berhad (Standard Chartered Saadiq) sebagai ejen kutipan TH yang baharu mulai 15 Januari 2022. Kerjasama ini akan memberikan manfaat kepada lebih 8.4 juta orang pendeposit TH, khususnya yang mempunyai akaun di Standard Chartered Saadiq.

Menerusi lantikan ini, para pendeposit TH yang juga pelanggan Standard Chartered Saadiq boleh membuat deposit ke akaun simpanan TH i atau pihak ketiga melalui portal Internet bank tersebut. Inisiatif ini akan memudahkan pelanggan kedua-dua organisasi untuk melakukan deposit ke akaun simpanan TH tanpa perlu hadir ke kaunter cawangan TH.

“Lantikan Standard Chartered Saadiq sebagai ejen kutipan terbaharu TH ini pastinya akan meningkatkan lagi akses perkhidmatan TH seluruh negara. Penggunaan saluran dalam talian terbukti mendapat sambutan baik oleh para pendeposit TH apabila rekod menunjukkan lebih 80 peratus transaksi TH telah dilakukan dalam talian meliputi portal THiJARI, ATM dan CDM serta perbankan Internet bank-bank rakan strategik TH yang lain. Pastinya urusan perbankan akan lebih memudahkan kedua-dua para pelanggan TH dan Standard Chartered Saadiq,” kata Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.

“Di Standard Chartered, kami sering berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan penggunaan digital di kalangan pelanggan kami. Kami yakin kolaborasi melalui digital Bersama-sama TH ini akan memberikan nilai tambah dan kemudahan perbankan kepada semua pelanggan Muslim TH dan bank, di mana jua mereka berada, sama ada di Malaysia atau luar negara,” kata Mohd Suhaimi Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq Berhad.

“Kami juga akan menambahkan penawaran digital, seiring dengan usaha kami untuk memperkukuhkan posisi Standard Chartered Saadiq sebagai Bank Islamik Digital terbaik di Malaysia – seperti yang dianugerahkan oleh Digital CX Awards 2021 dan juga oleh Global Finance untuk tiga tahun berturut-turut,” tambah beliau.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan rakan strategik terkini TH atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan TH, orang ramai boleh merujuk www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi talian THCC di 03-6207 1919.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.