Oleh Ritah Yahaya
19 Februari 2022, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BantingBamboo One-Stop Centre yang akan dibina ini bakal menjadi pusat maklumat dan rujukan kepada lebih banyak usahawan buluh Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Penubuhan Bamboo One-Stop Centre  antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) serta pihak swasta iaitu Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. Bamboo One-Stop Centre ini akan dibangunkan di Tadom Hill Resort Sdn. Bhd. terletak di Banting, Selangor yang akan berperanan sebagai pusat rujukan setempat industri buluh bagi menggalakkan pembangunan industri buluh negara.

Tadom Hill Resort merupakan sebuah pusat penginapan ekopelancongan berkeluasan 45 ekar bertemakan taman buluh yang unik serta dikelilingi kampung Orang Asal dari Suku Temuan. Lokasinya yang strategik merupakan satu kelebihan dan kemudahan bagi menyambut kedatangan pengunjung dari dalam negara dan luar negara.

Selain ekopelancongan, Tadom Hill juga mengambil langkah proaktif menghasilkan produk buluh komersial seperti cuka dan bio-arang buluh (bamboo bio-char). Usaha ini adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam usaha mentransformasikan industri buluh bagi peralihan struktur industri kecil-kecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh yang bernilai tambah tinggi dan lestari, sebagai antara fokus dalam RMK-12.

Malaysia dianggarkan mempunyai lebih daripada 70 spesies buluh. Sebanyak 45  spesies buluh tempatan  tumbuh secara semula jadi di kawasan hutan. Hingga kini, terdapat seramai 577 orang pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan, arang buluh, dan kraftangan.

Bamboo One-Stop Centre yang akan dibina ini bakal menjadi pusat maklumat dan rujukan kepada lebih banyak usahawan buluh Malaysia di sepanjang rantaian nilai industri buluh. Di samping itu, pusat rujukan ini akan berperanan sebagai pusat informasi setempat termasuk promosi, penyelidikan dan pembangunan berkaitan industri buluh di Malaysia.

Kementerian melalui MTIB dan MTC akan meneruskan usaha memperkasakan pembangunan industri buluh negara dengan pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif. Kementerian yakin dengan inisiatif seperti program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimakan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif yang bernilai tambah dalam industri perkayuan dan seterusnya menjadi satu bidang agrikomoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjanakan ekonomi negara.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.