Oleh Ritah Yahaya
19 Februari 2022, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensinya TEKUN Nasional melancarkan SPIM bagi membantu usahawan informal dan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas wabak COVID-19 dan bencana banjir.

Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) dibuka untuk permohonan dari 1 hingga 15 Januari yang lalu, dengan dana yang diperuntukkan berjumlah RM200 juta. YB Tan Sri Noh  Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, “Melalui SPIM, usahawan ditawarkan dengan nilai pembiayaan hingga RM10 000.00 tanpa caj keuntungan dan moratorium selama 12 bulan.”

“TEKUN Nasional menerima permohonan yang terlalu tinggi dalam masa yang singkat untuk pembiayaan SPIM ini. Dana yang sepatutnya untuk penyaluran setahun habis dalam tempoh dua minggu. Sebanyak 23 767 permohonan diterima hingga 15 Februari 2022. Sebanyak 15 902 permohonan diluluskan dengan nilai RM130.5 juta,” tambah beliau.

Noh turut menjelaskan, “Bagi memastikan kelancaran permohonan SPIM, TEKUN Nasional mengambil langkah penambahbaikan dengan menaik taraf sistem permohonan secara dalam talian. Penambahbaikan tersebut perlu dilakukan bagi menampung bilangan permohonan yang terlalu tinggi. Walau bagaimanapun, dalam proses tersebut, terdapat isu teknikal yang timbul yang sistem tersebut digodam dan menyebabkan berlaku kelewatan dalam memproses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan. Susulan itu, pihak TEKUN membuat laporan polis pada 16 Februari 2022.”

TEKUN mengambil Langkah untuk mengatasi isu ini secepat mungkin. Antaranya penyaluran pembiayaan ini dilakukan melalui cetakan cek yang diagihkan ke setiap Pejabat TEKUN Cawangan di seluruh negara. Hal ini demikian kerana penyaluran pindahan dana elektronik tidak dapat dilaksanakan kerana gangguan teknikal tersebut. Hingga kini, TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM110.1 juta kepada 13 370 orang usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan pindahan dana elektronik. Penyaluran pembiayaan ini dijangka dapat diatasi sepenuhnya pada pertengahan bulan Mac ini,” ujar beliau.

Bagi memastikan usahawan yang terkesan dapat dibantu secepat mungkin, Noh bersama-sama Pengurusan TEKUN turun padang untuk menyerahkan 54 cek pembiayaan SPIM bernilai RM367 000.000 kepada usahawan yang terlibat sekitar Parlimen Iskandar Puteri dan Pulai Johor hari ini.

Pada masa ini, usahawan boleh hadir ke Pejabat TEKUN Cawangan berhampiran untuk mendapatkan maklum balas berkenaan permohonan pembiayaan. Sejak diwujudkan pada tahun 1998 hingga Januari 2022, TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan kepada 498 733 orang usahawan dengan nilai RM7 bilion di seluruh negara. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan melalui TEKUN Nasional sememangnya komited membantu usahawan Bumiputera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.