Oleh Ritah Yahaya
16 Februari 2022, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – 11 orang usahawan PKS yang juga peserta Business Exports Program (BEP) dibawa menyertai Misi Peningkatan Eksport atau Export Acceleration Mission (EAM) Dubai 2022 yang berlangsung serentak dengan Ekspo Dubai 2020 dan Gulf Food.

SME Bank menyasarkan peningkatan jualan eksport sebanyak RM23 juta bagi keseluruhan peserta Business Exports Program (BEP) yang dijalankan secara usaha sama oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), SME Bank dan MATRADE.

Ketua Pegawai Strategik Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Mohammad Hardee Ibrahim berkata, “Selain daripada mencari peluang melebarkan pasaran ke peringkat antarabangsa, 11 orang usahawan PKS ini juga akan mencari peluang untuk menarik pelabur ke dalam syarikat masing-masing. Inilah antara objektif utama penyertaan mereka di bawah EAM yang turut dilancarkan di Dubai oleh Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha MEDAC pada 13 Februari 2022.  Sebelas buah syarikat ini adalah daripada sektor makanan dan minuman, telekomunikasi, pembuatan dan perkhidmatan.”

Mohammad Hardee menambah, “SME Bank sebagai agensi pelaksana telah memulakan program ini sejak tahun 2016 hingga tahun 2019 yang sebelum ini dikenali sebagai Best Exporters Program dan merupakan kolaborasi antara TERAJU, SME Bank dan MATRADE.

Sebanyak 73 buah syarikat tempatan menyertai program tersebut dan mencatatkan peningkatan hasil eksport sebanyak RM141.4 juta; 55 buah syarikat berjaya meningkatkan hasil eksport; 19 buah syarikat menjadi pengeksport baharu, dan 13 buah syarikat mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM87.7 juta.”

BEP ialah program intervensi berstruktur yang telah diletakkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Program ini menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di bawah inisiatif mempelbagaikan eksport negara dan mengurangkan kebergantungan pada eksport minyak dan gas. Selain itu, BEP juga secara langsung menyokong Teras 6 di bawah Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 dalam mengantarabangsakan perusahaan berprestasi tinggi, dengan memudahkan cara usahawan PKS Bumiputera untuk menembusi pasaran eksport.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.