16 Februari 2022, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batu Kawan – Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah berkenan untuk merasmikan majlis perasmian restoran The Phat Bee di Plaza WCOE, Taman Perindustrian Batu Kawan.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail disambut oleh Goh bersama-sama isterinya, Liong Swee Yen yang mengusahakan restoran berkenaan.

Terdahulu daripada itu, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan “Majlis Graduasi dan Penempatan Pekerjaan Walta Centre of Excellence (WCOE) Kali Pertama” yang melibatkan seramai 18 orang graduan dari Perlis.

Mereka terdiri dalam kalangan keluarga asnaf terpilih di negeri Perlis yang lulus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Perkhidmatan Kejuruteraan Industri Automasi dan ditaja oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

Walta Group sebuah syarikat tempatan dalam industri automasi dan pemesinan yang beroperasi di Pulau Pinang mengulangi komitmennya untuk melabur di negeri Perlis melalui penubuhan Walta Centre of Excellence (WCOE) 2 dan juga ‘Perlis Automation Cluster (PAC)’ tidak lama lagi.

Syarikat itu juga berikrar untuk meningkatkan kerjasama  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan juga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

Pihak Walta Group juga komited untuk membuat pelaburan dan mahu menghasilkan “Syariah Compliance Medical Device” yang pertama di Perlis kelak. Pada kesempatan yang sama, Goh memaklumkan bahawa Walta Group mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pemegang taruh yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada kumpulan mereka termasuklah MAIPs, ATAM, UniMAP, Penang Development Corporation (PDC), Invest Penang, PAC, Pentamaster, Vitrox, PERKESO dan lain-lain lagi.

Tuanku Raja Muda juga berharap inisiatif pengambilan kemasukan anak-anak asnaf negeri Perlis akan sentiasa berterusan pada masa akan datang. Baginda menyarankan supaya ibu bapa atau penjaga dapat memainkan peranan masing-masing bagi menggalakkan anak-anak mereka untuk terus meneroka bidang TVET bagi merancakkan lagi sektor perindustrian di negeri Perlis pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.